Sunday, January 30, 2011

Pengumpul setia label


BERUSAHA untuk menambah bilangan koleksi ‘sampahny’a dari semasa ke semasa.


SEHINGGA ke hari ini, sudah lebih 800 keping label berjaya dikumpulkan Nur Yursila Mat Rani. Semuanya selepas wanita berusia 28 tahun itu menghimpunkan kepingan ‘sampah’ ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara Jasin, Melaka.

Seawal usia 16 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur mencari formula untuk mengenang kembali barangan pembelian atau pemberian daripada orang tersayang.

Justeru, wanita yang mesra disapa Shila itu mengambil inisiatif menyatukan semua label yang menunjukkan pemilikan setiap barangan. Pada setiap kertas kecil tersebut terdapat sedikit keterangan dari mana dia mendapatkan sesuatu benda.

Tambahan pula minatnya lebih kepada pakaian dan aksesori hiasan diri. Semua label ‘diselamatkan’ terlebih dahulu, kemudian baru subjek utama disimpan baik-baik di almari.

‘‘Perkara utama yang membuat saya tertarik untuk menyimpan label ini setelah melihat bentuk dan warna yang macam- macam. Tak kisahlah apa jenamanya, saya simpan sebab itu bukan pokok persoalan utama,’’ katanya dalam pertemuan baru-baru ini.

Minat anak sulung daripada tiga beradik semakin menjadi-jadi apabila sanggup ‘mencuri’ label barangan daripada ahli keluarganya demi memastikan kotak simpanannya semakin padat.

Apa sahaja label termasuk makanan, beg dan barangan keperluan rumah disimpannya. Hasilnya pada hari ini, Shila tersenyum lebar tatkala peti simpanan jenama Louis Vuitton milik Shila penuh dengan pelbagai label yang mempunyai kenangan tersendiri.

Tambahan pula sekarang, ibu kepada Adam Haris, 2, dan Aiman Haris yang berusia lima bulan itu sentiasa keluar membeli-belah barangan keperluan anak.

Sudah pasti Shila bertambah riang kerana semua label pakaian anaknya itu bertukar milik kepadanya pula. Sehinggakan suami tercinta, Mohd. Fakhruddin Md. Noor, 28, turut geleng kepala dengan kecenderungan isterinya itu.

Ditanya apakah rancangan Shila dengan semua asetnya itu, wanita itu tersenyum. Katanya, dia bercadang untuk membingkaikan label berkenaan andai berkesempatan satu masa nanti.

1 comment:

  1. Salam,
    Saya Mia dari Primeworks Studios, Tv9. Bagaimana cara untuk saya hubungi Pn Nur Yursila ye? Harap pihak encik dapat bagi kerjasama. sy sertakan email saya disini untuk encik hubungi. mia.aynor@gmail.com

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: