Sunday, January 30, 2011

Masa untuk anak

pix_middle

JIWANYA pernah diguris, perasaan dipermain dan hati bagai ditusuk sembilu. Kolam matanya sukar dikeringkan lantaran kesakitan batin itu. Pun begitu, sekeras mana dugaan menghempap, Norish Karman cuba untuk tidak mengalah. Cuba untuk berdiri seteguh mungkin kerana apa yang dilalui dianggap sebagai rencah hidup.

Perpisahan dengan bekas suami dan kini memikul tanggungjawab membesarkan empat cahaya mata tidak sekali mengundang kesal sebaliknya si empunya nama Nor Ashikin Karman ini menyifatkan setiap satu episod yang ditayangkan dalam kamar hidupnya adalah satu hikmah yang membentuk kekuatan diri. Meskipun sandaran Datin yang pernah mengulit dirinya selama 11 tahun kini sudah terlucut, itu tidak sekali mengasingkan jiwanya.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Jelasnya menyusun kata, berbisik seolah-olah enggan berkongsi dengan anak-anaknya yang turut menemani si ibu ketika sesi fotografi SELEBRITI, semuanya adalah suratan yang tidak boleh lagi disembunyikan.

“Sakit yang ditanggung bukan sedikit dan rasa kecewa yang menemani setiap malam adalah sesuatu yang luar biasa pedihnya. Bukan kerana kesal tiada lagi lelaki yang memeluk menahan kedinginan, namun membayangkan kesengsaraan seorang diri dan segala macam persepsi yang melekat pada saya sejak perceraian itu. Ia adalah satu tamparan yang tidak mungkin terbayang dek akal.“Saya pasrah dengan apa yang berlaku dan mungkin itu semua balasan atas kesilapan sendiri. Cuma apa yang menjadi bebanan sekarang adalah kisah mengarut yang tersebar, stigma seolah-olah saya seorang yang bersalah sedangkan itu semua adalah kisah di sebalik tirai kamar tidur yang tidak perlu dikongsikan dengan masyarakat.


“Selepas episod seribu satu persoalan yang semuanya menjurus mencari kesilapan saya, sekali lagi saya perlu menanggung impak. Itulah kebarangkalian yang perlu dihadapi sebagai insan seni. Mahu atau tidak, satu kewajipan untuk saya jelaskan.

“Apa yang paling saya bimbangkan adalah anak-anak. Saya tidak mahu mereka menjadi mangsa atau mengalami kemurungan hanya kerana silap perkahwinan saya sendiri. Saya berusaha memastikan agar mereka tidak terkena tempias kekecewaan ini,” katanya.

Sesekali aktres berusia 34 tahun ini mengukir senyum melihat gelagat anak-anaknya yang tidak henti bergurau. Tampak ketegasan dirinya sebagai seorang ibu yang bertungkus-lumus memanggil kebahagiaan dalam kehidupan Nor Zam Zam, 16; Muhammad Haqiem Amany, 9; Muhammad Hady Amieran, 5 tahun dan puteri tunggalnya, Nur Hanyz Amanda yang kini berusia empat tahun.

Perlahan-lahan persoalan peribadi ditusuk dalam perbualan. Meskipun tampak keberatan menyambut pertanyaan, namun profesionalisme aktres yang mula mencipta nama dalam filem Sayang Salmah 15 tahun lalu ini menundukkannya untuk akur.

“Sukar untuk terus bersembunyi apabila berbicara soal peribadi. Itu adalah rencah menjadi anak seni dan tidak sekelumit pun timbul rasa bimbang bagi berkongsi mengenainya. Jujurnya, saya mengakui yang kini sudah pun mempunyai seorang teman, Luqman yang boleh saya sifatkan istimewa.

“Bukan setakat memahami dan sentiasa mengisi kekoso­ngan sejak saya sendiri menjalani rutin harian membesarkan anak-anak, namun Luqman adalah lelaki yang tidak henti memberi semangat serta menyokong kerjaya seni saya. Anak-anak dan Luqman adalah inspirasi buat diri saya untuk terus memacu ke depan tanpa menoleh ke belakang lagi.

“Status ibu tunggal tidak semudah dilihat dan seindah didengar namun ia satu tanggungjawab besar. Saya perlu berkerja lebih kuat mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak. Setakat ini, alhamdulillah tawaran lakonan tidak henti. Seperkara yang saya pegang adalah disiplin dan kejujuran dalam kerjaya. Kepercayaan yang diberi pihak produksi dan pengarah amat saya hargai.

“Insya-Allah jika ada jodoh nanti, saya tidak sekali merahsiakannya,” katanya yang mesra disapa NK.

Bukan sekali suara nakal yang menceritakan kononnya bintang yang popular menerusi drama bersiri Kasut Tumit Tinggi ini sombong dan berlagak. Hanya bersandar pada karakter yang kuat dan wajahnya yang tidak mudah senyum, ramai pula mata sekeliling yang menghakimi sedangkan kebenarannya jauh tersasar.

Namun peluang duduk bersembang dengan beberapa pengarah yang pernah membentuk lakonannya serta tenaga produksi yang biasa kerja dengannya jelas membuka satu dimensi bertentangan mengenai Norish.

Pemegang watak pelacur, Nora dalam teater Bukan Dejavu ini sebenarnya seorang yang begitu mementingkan kesempurnaan baik dalam lakonan mahupun lontaran karakter. Bukan itu saja, Norish juga gemar memasak dan menjamu produksi di lokasi penggambaran.

Ironinya jelas Norish yang selama ini menyembunyikan bakat nyanyiannya, ada beberapa individu yang datang memohon maaf kepadanya kerana sekian lama menganggapnya sebagai sombong namun selepas berpeluang bekerjasama, semua itu tidak benar.

“Saya sangat komited dan inginkan sesuatu yang terbaik dalam setiap hasil kerja lakonan. Mungkin kerana saya tegas dan tidak mudah termakan pujuk menyebabkan beberapa pihak mengandaikan saya sombong namun selepas mereka mengenali saya, barulah mereka sedar dan datang menceritakan anggapan awal mereka. Saya tidak kisah dan tidak langsung berkecil hati.

“Setiap kali ada skrip baru, saya akan memastikan pemba­ngunan karakter itu saya sentuh dan wujudkan bagi mendapatkan keserasian sepanjang menjayakannya. Saya mengkaji sedalam-dalamnya dan apa yang boleh saya baiki bagi mencantikkan lagi karakter itu. Drama bersiri Asmaradana di slot Samarinda TV3 baru-baru ini umpamanya memerlukan saya menjadi wanita tua yang strok, lihat saja lakonan yang diberikan. Saya sendiri melihat realistik seorang penghidap penyakit seperti itu bagi menterjemahkan sesuatu yang tidak janggal.

“Jujurnya saya inginkansatu watak yang mencabar dan mampu memberikan saya kela­inan seperti pelacur, bohsia, peng­kid atau buta. Saya dahagakan pengarah atau karakter yang mengubah keseluruhan peribadi saya. Sebelum ini saya sinonim dengan watak wanita kaya, moden dan berpengaruh seperti apa yang ditonjolkan dalam Spa Qistina namun hakikatnya saya lebih daripada itu.

“Mungkin satu hari nanti peminat akan berpeluang melihat pembaharuan dalam sisi lakonan saya. Usahmatikan imaginasi dengan tersekat pada ketrampilan saya semata-mata kerana asas seorang pelakon adalah bakat yang tidak pernah tercapai di mata penonton saja,” katanya yang turut berbakat melukis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: