Sunday, January 30, 2011

Lotus terus gemilang


Tiga model masa kini Lotus iaitu Lotus Evora, Elise dan Exige.


PERTAMBAHAN kuasa membuatkan anda pantas di jalan lurus. Mengurangkan berat membuatkan anda pantas di mana-mana."

Itulah antara pepatah yang dipegang oleh Colin Chapman ketika beliau membangunkan kereta Lotus pada 1952 di bawah syarikat pengeluarannya Lotus Engineering Ltd.

Berasaskan pegangan itulah Lotus Engineering menjadi pengeluar kereta sport terunggul dunia manakala pasukan Formula Satunya meraih tujuh kali kejuaraan dunia dalam kategori pengeluar dan tiga kali bagi kategori pemandu sepanjang pembabitannya dari 1962 hingga 1978.

Tidak hairanlah, jenama Lotus begitu gah di seluruh pelosok dunia, baik di United Kingdom, Eropah hinggalah Amerika Syarikat. Siapa yang tidak kenal dengan kereta-kereta Lotus Mark I hingga X, Eleven, Excel, Elise, Elan, Evora, Esprit dan Elite.

Malahan kereta-kereta Lotus juga digunakan dalam filem penyiasatan terkemuka Britain, James Bond iaitu Lotus Esprit Turbo dalam For Your Eyes Only, Lotus Esprit S1 (The Spy Who Loved Me) serta Lotus Formula 3 dalam Casino Royale.

Apabila Chapman meninggal dunia akibat serangan jantung pada 1982, Lotus Engineering Ltd. dikatakan mengalami kemerosotan sehinggakan syarikat itu telah diambil alih oleh gergasi automotif Amerika Syarikat, General Motors (GM) pada 1986.

Namun pada Ogos 1993, GM telah menjual Lotus Engineering kepada syarikat automotif Luxemburg, ACBN Holdings milik jutawan Itali, Romano Artioli yang juga pemilik syarikat Bugatti Automobili SpA.

Akhirnya pada 1996, Proton Holdings telah membeli 63.73 peratus pemilikan dalam Lotus Group International Ltd. (Group Lotus Plc.) dengan nilai £40.64 juta (RM195.1 juta) dan tujuh tahun kemudian, syarikat automobil negara itu menguasai sepenuhnya kepentingan di dalam Group Lotus.

Bagi Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohd Tahir, jika mahu melihat Group Lotus keluar dari kemelesetan, mereka perlu mengubah strategi perniagaan dan pengeluaran dengan menghasilkan model-model baru di samping mempertingkatkan jumlah pengeluarannya.

Malah katanya, Lotus tidak perlu lagi menjadi pengeluar kereta yang berasaskan kejuruteraan tetapi sebaliknya ia perlu berasaskan pasaran.

Dengan kata lain, pengeluaran kereta Lotus perlu dipertingkatkan bagi pasaran yang lebih luas di seluruh dunia.

Justeru, pada Pameran Motor Paris 2010, syarikat pemilik Lotus itu mengumumkan untuk melancarkan lima model secara serentak mulai 2013 dalam usaha mengembangkan pasaran kereta jenama Lotus di pasaran automotif dunia.

Lima model tersebut ialah Lotus Esprit, Elan, Eterne, Elite dan Elise yang tempoh pengeluarannya akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2013 hingga 2015.

Bagi menjayakan matlamat tersebut, Lotus dibantu oleh syarikat induknya, Proton akan menerima suntikan dana sebanyak £480 juta (RM2.3 bilion) dalam tempoh lima tahun bagi menampung kos-kos pengeluaran, penjenamaan dan juga pemasaran.

Pengarah Pengeluarannya, Michael Och berkata, ia menjadi satu cabaran besar bagi pihaknya bagi menjayakan matlamat tersebut dan untuk itu beberapa penstrukturan akan dilakukan di dalam syarikat terbabit.

Antara langkah yang perlu diambil ialah peningkatan penggunaan jentera dan mesin, penambahan jumlah tenaga kerja serta peningkatan dalam proses pengeluaran. Perubahan itu perlu dilakukan mulai peringkat asas.

"Pada masa kini kami mampu mengeluarkan sebanyak 200 Evora setahun. Jika mahu menghasilkan sehingga 10,000 unit setahun, ia mungkin memerlukan penambahan dari segi mesin dan jentera tetapi kami tetap tidak memerlukan robot," katanya.

Dalam usaha mengembalikan kegemilangannya, Group Lotus akan menggunakan saluran sukan pemotoran untuk meningkatkan jenamanya. Tambahan pula sukan pemotoran sudah menjadi darah daging bagi syarikat itu sejak era Chapman lagi.

Untuk itu, Group Lotus telah mengambil langkah menguasai kepentingan dalam pasukan Renault F1 untuk membentuk Lotus Renault GP bagi penyertaan mereka dalam Formula Satu mulai musim 2011 ini.

Pasukan itu sebelum ini dimiliki sepenuhnya oleh Genii Capital dari Luxemburg dan pasukan itu pernah dua kali muncul sebagai juara dunia menerusi pelumbanya, Fernando Alonso.

Pengerusi Genii Capital, Gerard Lopez berkata, perjanjian kerjasama antara pihaknya dan Group Lotus akan berlangsung selama empat tahun dan boleh ditingkatkan sehingga tujuh tahun.

"Ia meliputi kerjasama dalam bidang teknikal. Kami mengharapkan melalui gandingan kedua-dua pihak ini akan memperkukuhkan lagi pasukan ini bagi menghadapi musim 2011," katanya.

Selain F1, Group Lotus juga turut menyertai sukan pemotoran lain seperti Lotus Cup, GT4 dan Endurance menerusi kereta Lotus Evora, GP2 dan GP3, Evora GTE serta Indy Car.

Justeru, dengan pengeluaran lima model terkini dan penyertaan lebih luas dalam sukan pemotoran, Group Lotus dijangka mampu keluar dari kemelesetan, sekali gus mengembalikan kegemilangannya di persada dunia dalam tempoh lima tahun lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: