Monday, January 31, 2011

Kerjasama ECER-GCC

KERJASAMA...Mustapa (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Sultan Saeed sambil disaksikan Najib di Abu Dhabi, semalam.
KERJASAMA...Mustapa (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Sultan Saeed sambil disaksikan Najib di Abu Dhabi, semalam.

WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) Malaysia menandatangani Perjanjian Kerangka Malaysia-GCC dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) mengenai ekonomi, komersial, pelaburan dan kerjasama teknikal di Abu Dhabi semalam, sekali gus mencerminkan peningkatan hubungan ekonomi antara Malaysia dan enam negara anggota GCC iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menandatangani bagi pihak Kerajaan Malaysia, sementara Menteri Ekonomi UAE, Sultan Saeed Al-Mansoori dan Ketua Setiausaha GCC, Abdul Rahman bin Hamad Al-Attiyah menandatangani bagi pihak GCC.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut menyaksikan perjanjian Malaysia-GCC berkenaan.

Dengan termeterainya perjanjian itu, ia menandakan permulaan kepada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua pihak dan Malaysia mengunjurkan dagangannya berkembang 41 peratus sebaik saja hubungan FTA itu menjadi kenyataan.


ECER yakin bakal menarik lebih banyak pelaburan daripada negara GCC tahun ini, terutama sektor pembuatan halal, pertanian dan pelancongan.


Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John, dalam satu kenyataan berkata, ECERDC mensasarkan bakal menarik pelaburan RM5 bilion (AS$1.67 bilion) ke ECER setiap tahun. RM2 bilion daripada pelaburan berkenaan dijangka dari negara Timur Tengah.“Negara Timur Tengah menunjukkan minat yang tinggi terhadap ECER, terutama dalam sektor industri halal, pelancongan, pertanian, ternakan dan perikanan.


“Malah, kami kini berada di peringkat perbincangan dengan beberapa pelabur berpotensi dari negara berkenaan dan dijangka akan mengumumkan perkembangan positif tahun ini,” katanya pada Forum Investing in Malaysia 2011 di Abu Dhabi, semalam.

John berkata, sepanjang 2007 hingga 2010, ECER berjaya menarik RM36.5 bilion pelaburan domestik dan antarabangsa. RM15.3 bilion daripada jumlah berkenaan meliputi 158 projek.


Menurutnya, dengan kawasan luas dimiliki ECER, ia memenuhi keperluan negara Timur Tengah yang ingin menerokai peluang bagi program keselamatan makanannya Bagi Arab Saudi, Malaysia adalah satu negara yang dipilih berdasarkan inisiatif keselamatan makanannya.


“Malaysia mempunyai banyak persamaan budaya dengan Timur Tengah, menjadikan ECER destinasi ideal bagi pelaburan berasaskan pematuhan shariah serta resort dan hotel berkonsep kekeluargaan. Universiti dan kolej di negara GCC juga boleh membuka kampus Malaysia di rantau ini” katanya.


“Kami juga boleh memenuhi kehendak Timur Tengah bagi pengeluaran dan pensijilan produk halal, seperti kosmetik dan makanan serta farmaseutikal,” katanya.


Menurutnya, keyakinan pelabur juga turut meningkat berdasarkan kekuatan Malaysia dalam isu berkaitan pengeluaran sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diterima di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: