Sunday, January 30, 2011

Keju Mastura bertaraf global

TONGGAK KEJAYAAN...Mastura (tiga dari kanan) bersama sebahagian pekerja yang dianggap seperti adik-beradik.
TONGGAK KEJAYAAN...Mastura (tiga dari kanan) bersama sebahagian pekerja yang dianggap seperti adik-beradik.

“BOLEH ke orang Melayu nak jual keju di negara panas seperti Malaysia,” begitulah sindiran sinis membuatkan telinga Mastura Ahmad, 40, berdesing sewaktu mengatur langkah pertama menceburi bidang perniagaan keju yang sememangnya asing bagi usahawan di tanah air kita.

Tak sungguh bagai dikata, ejekan dan sindiran itu membulatkan tekad Mastura untuk membuktikan perniagaan makanan ruji orang Barat itu mempunyai potensi besar dan diterima rakyat negara ini.

  • Foto

    BANGGA...bersama hasil titik peluhnya selama setahun.

  • Foto

    SERIUS...sebahagian kakitangan menyiapkan tempahan pelanggan.

  • Foto

    TELITI...kebersihan paling dititikberatkan.

Adat orang berniaga, menyedari bakal berdepan risiko selain cabaran mendidik rakyat Malaysia menerima keju sebagai sajian harian, Mastura terlebih dulu bersedia daripada aspek fizikal dan mental andai hasratnya tidak kesampaian.

“Tiada istilah kalah sebelum mencuba dalam kamus hidup saya. Yang pasti, saya suka cabaran dan alhamdulillah biarpun mengambil masa lama membina kejayaan, hasilnya sangat membanggakan dan berbaloi.“Bahkan saya tidak pernah menyesal meninggalkan jawatan sebagai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya meskipun mempunyai pendapatan lumayan kerana kecintaan terhadap bidang perniagaan yang tinggi, “ katanya ketika ditemui di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.Mengimbas pembabitannya dalam perniagaan keju, Mastura yang mesra disapa Kak Mas berkata, semuanya gara-gara sukar mendapatkan bekalan makanan halal sewaktu dia menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana dalam jurusan Undang-undang Antarabangsa di United Kingdom.

Tiga tahun menetap di negara orang memberi kelebihan kepada Mastura mengenali lebih ramai rakan dari pelbagai bangsa dan agama yang rata-ratanya menggemari makanan Melayu.

“Pada awalnya saya hanya menjalankan perniagaan minyak masak dari Malaysia secara kecil-kecilan untuk dijual kepada pelajar dan penduduk negara ini yang bermastautin di sana.

“Namun sungguh memeranjatkan apabila rakyat asing yang bukan beragama Islam turut menggemari minyak masak berkenaan.

“Ketika ditanya mengapa mereka memilih minyak masak Malaysia, hanya satu yang diungkapkan iaitu halal. Bagi mereka, halal bermaksud bersih,” kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Bermula saat itu, permintaan tinggi daripada rakan bangsa asing membuatkan Mastura terfikir mempelbagaikan lagi cabang perniagaan berkaitan minyak sawit.

Apatah lagi dia mempunyai pelanggan tetap, ditambah pihak pengimport mempercayai mutu dan kualiti produk keluaran tempatan.

Selepas tamat pengajian dan pulang ke Malaysia, Mastura terfikir untuk membuka perniagaan keju halal berasaskan kelapa sawit sebagai kelainan, ditambah tiada individu mengeluarkan produk seumpama itu disebabkan kebanyakan keju dihasilkan daripada susu lembu yang tidak diketahui status halalnya.

Selepas berhempas pulas menjalankan penyelidikan mengenai potensi, hasil dan pasaran keju di Malaysia, Mastura akhirnya membuat keputusan meneruskan niatnya dengan kerjasama penyelidik berpengalaman tempatan sebelum ditipu pihak terbabit yang hanya mahu mendapatkan nama semata-mata.

Kesal dengan insiden itu, namun tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus berniaga dan menganggap ia sebagai ujian sebelum beroleh kejayaan.

“Marah, sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku, namun saya bersyukur kejadian itu membuatkan saya lebih cekal dan mahu terus berusaha dengan lebih kuat.

“Saya teruskan usaha dan mencari mereka yang berpengalaman sebagai penyelidik dalam bidang pemakanan halal hinggalah berjumpa Profesor Dr Dzulkifli Mat Hashim yang banyak memberi nasihat mengenai pembuatan keju,” katanya.

Bermodalkan wang simpanan RM500,000, Mastura memberanikan diri menghasilkan keju pertama iaitu Mozzarella. Istimewanya produk keluaran tempatan itu semestinya halal, tiada kolesterol, rendah kandungan garam dan mampu bertahan hingga setahun berbanding keju yang diimport.

“Alhamdulillah, selepas setahun, perniagaan saya mula mendapat perhatian dan paling membanggakan, dapat menghasilkan lebih 10 jenis keju dalam masa singkat.

“Selepas Mozzarella, pelbagai jenis keju dihasilkan seperti Cheddar Mild, Cheddar Classiq, Cream Cheese, Shalamont Green Cheese, Mas Blue, Tja Low Fat Nachos Cheese Dip dan lain-lain yang dihasilkan melalui resipi dan cara tersendiri,” jelasnya yang turut memiliki beberapa syarikat lain.

Selain mendapat permintaan luar biasa dari negara sendiri, Mastura menerima tempahan dari luar negara seperti Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Britain, Maghribi dan Perancis.

Paling tidak disangka, negara yang sinonim dengan keju iaitu Perancis turut memesan keju keluaran D’Qisra Sdn Bhd dengan kuantiti banyak mencecah 100 tan sebulan.

“Saya terkejut apabila orang Barat memesan keju keluaran tempatan. Menurut mereka, keju diperbuat daripada minyak kelapa sawit lebih sedap dan tahan lama di samping halal.

“Berdasarkan kenyataan itu, status halal kini bukan saja dititikberatkan mereka yang beragama Islam, malah orang bukan Islam turut mementingkannya,”
katanya.

Menurut Mastura, walaupun permintaan diterima tinggi, ada kala dia dan kakitangannya tidak dapat memenuhinya disebabkan kesukaran mendapatkan mesin berteknologi tinggi yang hanya boleh didapati di Jerman dengan kos mencecah RM800,000 sebuah.

“Buat masa ini kami mengambil tempahan mengikut kemampuan dan insya-Allah selepas mesin yang dipesan tiba, lebih banyak tempahan mampu diambil.

“Nampaknya sejak kebelakangan ini rakyat tempatan semakin menggemari keju yang bukan saja mengandungi vitamin E, C dan mineral, malah boleh dipelbagaikan dalam bidang pembuatan kek dan pastri yang menghasilkan rasa lebih enak,” katanya.

PROFIL

NAMA: Mastura Ahmad
UMUR: 40 tahun
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ijazah Sarjana Undang-undang Antarabangsa (LLM) United Kingdom (UK)
JAWATAN: Ketua Pegawai Eksekutif Teja Resources Sdn Bhd, D’qisra Sdn Bhd, Marissa Travel Sdn Bhd, Core Value Construction Sdn Bhd dan Teja Palm Oil Plantation Sdn Bhd
ASAL: Kampung Baru, Kuala Lumpur
ANAK: Ahmad Danish (16), Ahmad Daniel (14) dan Anis Nabila Qistina (12)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: