Sunday, January 30, 2011

Kabel pesiaran hibrid


RANGKAIAN pelbagai bot reka bentuk kenderaan hibrid ciptaan Phil Pauley yang menggabungkan ciri-ciri kapal mewah, kapal selam dan kapal terbang.


PERKEMBANGAN dalam teknologi yang semakin membuatkan ramai daripada kita ingin memiliki sesuatu yang sebelum ini hanya boleh dilihat dalam filem-filem fiksyen sains.

Atas keperluan memenuhi kehendak manusia yang tidak pernah mengenal erti sempadan itulah menyebabkan usaha mereka bentuk produk-produk canggih terus dilakukan seperti penciptaan kereta mampu terbang, alat manusia terbang, bot menjadi kereta dan sebagainya.

Sebelum pembangunan sesuatu produk dilakukan, imaginasi pereka bentuk sangat penting kerena mereka mampu menggambarkan bagaimana rupa bentuk sesuatu produk seperti arkitek yang membuat rekaan rumah.

Kini, seorang pereka bentuk konsep British, Phil Pauley telah menunjukkan bagaimana imaginasinya mampu memukau sesiapa sahaja yang melihat reka bentuk kenderaan hibrid ini yang menggabungkan ciri-ciri kapal mewah, kapal selam dan kapal terbang.

Dalam reka bentuk terbarunya, Pauley telah mereka beberapa bot yang boleh 'terbang di udara,' menyelam atau mengeluarkan dek tambahan apabila diperlukan.

Bot-bot hibrid tersebut terdiri daripada siri bot-bot pesiaran atau Cruiser yang dibahagikan kepada empat jenis iaitu Yacht Cruiser, Sub Cruiser, Fly Cruiser dan Power Cruiser.

Bot yang paling mewah adalah Yatch Cruiser yang menawarkan kemewahan bot bertaraf tujuh bintang di keseluruhan kapal pesiaran itu kerana ia menggunakan badan kapal lutsinar satu hala.

Ini bermakna penumpang kapal boleh melihat permukaan laut terus dari bilik mereka tanpa perlu berdiri di atas dek kapal atau membuka tingkap.

Bagaimanapun, jika anda masih ingin menikmati udara segar dengan berehat di atas dek, kapal ini mempunyai kemampuan untuk menambahkan saiz dek dengan mengeluarkan sebahagian daripada dek yang disimpan ketika tidak digunakan.

Dek tambahan yang dikenali sebagai Dek Parti ini sangat sesuai digunakan jika pemilik kapal ingin menjemput ramai pelawat apabila mengadakan sesuatu majlis sosial.

Terbang di atas air

Kapal Fly Cruiser pula merupakan versi kapal yang mampu memecut dengan laju kerana mempunyai kemampuan naik sedikit ke udara dan memecut dengan kelajuan melebihi 100 knot (185 km) sejam.

Pemandu kapal ini hanya perlu menekan sebuah butang untuk membolehkan kapal ini mengeluarkan sayapnya dan kemudian naik sedikit ke udara untuk membolehkannya terbang di atas air.

Di bahagian bawah kapal ini juga akan mempunyai penstabil yang akan berada di dalam air bagi mengimbangi kapal apabila ia 'terbang.' Bilah penstabil ini akan ditutup semula apabila kapal belayar seperti biasa.

Sebuah lagi kapal pula iaitu Sub Cruiser mempunyai kemampuan untuk menyelam ke dalam air dan seterusnya memberikan pengalaman mengendalikan kapal selam kepada pemiliknya dan Power Cruiser akan menjadi kapal mewah berprestasi tinggi.

Sudah tentu kesemua model kapal-kapal ini sangat ingin dimiliki oleh sesiapa sahaja dan diharapkan konsep reka bentuk ini mampu direalisasikan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: