Sunday, January 30, 2011

Bukan perampas

BANYAK pengajaran dari kisah-kisah kehidupan yang dipaparkan dalam DCCK menceritakan pengalaman orang lain telah mematangkan saya dalam melalui hidup yang mencabar ini. Dan setiap pengajaran menjadi teladan mempengaruhi cara, reaksi setiap keputusan yang saya buat dan membuatkan saya lebih bijak dan kuat sebagai manusia.

"Kerana itu jugalah setiap pengalaman yang emak saya lalui telah mengajar saya menjalani hidup lebih bermakna. Abah tinggalkan emak dan kami empat beradik ketika saya berusia 6 tahun. Bukan kami saja ditinggalkan, tetapi juga madu emak dan tiga orang anaknya." Demikian cerita Farahanim dalam e-melnya dan ketika kami bertemu dan berbual panjang di sebuah restoran Isnin lalu.

"Selepas ditinggalkan masing-masing bawa hidup sendiri membesarkan anak-anak tanpa bantuan ayah. Sebelum itu emak, madunya dan kami adik beradik tiri semua tinggal serumah. Walaupun bermadu, hubungan emak, madu dan anak-anak tirinya cukup baik. Kami sama-sama membesar di bawah satu bumbung.

"Walaupun ditinggalkan emak tak pernah ajar kami adik-beradik berdendam, malah emak bercerita perkara yang baik tentang abah. Tak banyak yang saya ingat tentang abah hinggalah saya berjumpa abah ketika berusia 15 tahun, kali kedua ketika meminta abah mewalikan saya bernikah dan ketika hari-hari terakhir abah di hospital kira-kira enam tahun lalu.

"Biarpun jarang bertemu, tetapi abah amat mesra dengan kami. Ketika itulah saya melepaskan rasa rindu dan memanfaatkan setiap ketika bersama abah.

Kongsi

"Emak, manusia yang paling rapat dengan saya. Selama 35 tahun hidup saya tak pernah jauh dari emak. Banyak cerita hidupnya emak kongsi dengan saya. Bagi saya, tak ada manusia sesabar dan semulia emak. Emak menerima setiap perbuatan abah dengan tabah, menerima setiap berita perkahwinan baru abah dengan reda.

"Hanya Allah yang tahu apa di dalam hati emak tetapi emak memang kuat dan berhati lapang. Emak sanggup berkongsi rumah dengan madu, memelihara anak madunya seperti anak sendiri, berjumpa, berkawan dan menerima setiap madunya sebagai keluarga. Rahmatnya memang ada kerana emak amat dihormati oleh madu-madu dan anak-anak tirinya hingga ke akhir hayat emak.

"Kami adik-beradik tiri tak pernah bergaduh malah dan sangat harmoni. Asas ajaran dan kepercayaan atau falsafah yang emak berikan kepada kami amat mudah iaitu hidup ini amat singkat oleh itu kenapa mesti berkira, jadi carilah dan pandang saja kebaikan kepada setiap kejadian yang berlaku. Insyaallah hati akan lapang hidup lebih tenang."

"Semakin bertambah dewasa, saya semakin yakin dengan ajaran emak. Bukankah ketenangan dan kebahagiaan hidup yang kita cari di dunia ini?

"Saya percaya emak adalah wanita yang dapat merasa rahmat berpoligami kalaupun bukan kemanisannya. Saya tak berani mengatakan kemanisan poligami kerana saya percaya pasti ramai pembaca wanita akan mencebik kenyataan saya ini. Tetapi saya yakin, dengan pegangan dan ajaran emak dalam berpoligami, sebab itulah emak disayangi dan dihormati hingga ke akhir hayatnya oleh madu-madu dan anak-anak tirinya.

"Malah abang, anak madu kedua emak turun sama menyambut jenazah emak untuk disemadikan letakkan di liang lahad. Emak muda masih sedih kalau bercerita kisah emak hingga kini. Kasih sayang kami adik-beradik walaupun berlainan ibu amat teguh. Begitulah kuasa keikhlasan dan kelapangan hati yang dapat menukar pahitnya bermadu menjadi manis dan rahmat buat keluarga besar kami.

"Perpisahan saya isu biasa tentang masalah kewangan dan cara berfikir yang berbeza tentang kehidupan ini. Saya bercita-cita tinggi untuk membaiki taraf kehidupan menjadi lebih baik dengan melengkapkan diri dengan ilmu. Sedangkan bekas suami merasa selesa dengan apa yang ada, sambil meletakkan hampir 80 peratus perbelanjaan keluarga jadi tanggung saya. Setelah berpisah anak-anak menjadi tanggungjawab saya. Alhamdulillah.

"Kerana jodoh juga saya berkahwin lagi, kali ini sebagai isteri kedua. Tidak dirancang, tetapi sebagai seorang muslim yang percaya pada takdir dan jodoh. Mungkin ada orang kata jodoh sengaja dicari tapi boleh dielak, namun siapalah kita untuk melawan urusan Allah.

"Hidup sebagai isteri kedua bukanlah sesuatu yang membanggakan. Terutama perkahwinan ini terpaksa dirahsiakan sambil meneruskan hidup sebagai janda beranak dua juga tak pernah saya rancang. Tetapi sekiranya ini yang dijanjikan, saya terpaksa teruskan hidup ini.

"Sekiranya perkahwinan pertama dianggap sebagai takdir dan jodoh, mengapa perkahwinan dengan suami orang dianggap sengaja dicari? Bukankah ia ketentuan Allah juga. Saya tidak berniat menyalahkan sesiapa atau menegakkan benang basah. Cuma meminta sedikit pengertian untuk memahami kisah kami, para isteri kedua.

Sebenarnya menjalani hidup sebagai isteri kedua bukan mudah namun saya bahagia. Saya percaya, kebahagiaan adalah suatu pilihan dan saya sendiri memilih untuk hidup bahagia. Saya amat memerlukan suami untuk memimpin dan menyokong hidup saya. Saya belajar menangani perasaan cemburu, menepis fikiran buruk dan saya akui itu adalah satu peperangan dalam diri yang amat sukar dilalui.

"Kepada wanita yang jadi isteri kedua, ikhlaskan hati, tabahkan diri, sentiasa ingat kita adalah orang yang menumpang kasih. Perangi rasa cemburu cuba menggantikan dengan keikhlasan dan berdoalah.''

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: