Monday, January 31, 2011

Borneo Sasaran Konsert Aizat Pertengahan Tahun Ini

PETALING JAYA: Selepas menjayakan konsert solo pertamanya di Auditorium Bentley, Damansara, di sini, pada Sabtu lalu, penyanyi Aizat Amdan mensasarkan Borneo sebagai lokasi konsert seterusnya pada pertengahan tahun ini. Penyanyi lagu Susun Silang Kata dan Sungai Lui itu bagaimanapun tidak dapat mengulas lanjut tentang konsert tersebut kerana semuanya masih dalam peringkat perbincangan.

Biarpun begitu, pemuda berusia 22 tahun itu agak teruja dengan tercapainya impian sejak berusia belasan tahun untuk mengadakan konsert seperti itu.

“Saya rasa sangat teruja apabila mendapat tahu 700 tiket konsert pada malam ini (Sabtu) habis dijual. Ini merupakan konsert yang saya idamkan dengan abang saya, Anas sejak kecil lagi.

“Sewaktu berusia 12 tahun, saya dan Anas selalu berangan-angan bermain gitar di sebuah konsert. Bagaimanapun, konsert hari ini bukanlah penamat segala-galanya sebaliknya ia sebagai satu langkah untuk membuat konsert jelajah suatu Malaysia. Insya Allah,” katanya dalam satu sidang media selepas konsert ‘Urusan Aizat Amdan Live In Damansara’ berakhir.

Turut hadir di konsert itu adalah penyanyi Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sharifah Aini, Dafi, Noh (Hujan), Mizz Nina dan Bunkface.

Konsert anjuran syarikatnya, Kasi Gegar Entertainment (KGE) itu menampilkan 16 lagu popular dan yang dimuatkan dalam album Aizat seperti ‘Lagu Kita’, ‘Cintai Diriku’, ‘Kau Aku’, Erti Hari Ini’, ‘Susun Silang Kata’, ‘Sungai Lui’, ‘Hanya Kau Yang Mampu’, ‘Fikirlah’, ‘Pergi’, ‘Sahabat’ dan ‘Di Mana Pun Engkau Berada’ (Feat DJ Fuzz).

Pada akhir konsert, Aizat menyampaikan lagu ‘Perpisahan’ nyanyian asal daripada Anuar Zain.

Menurut komposer dan penulis lirik ini, dia akan cuba meningkatkan mutu konsertnya dari segi teknikal.

“Bukan mudah untuk membuat konsert yang sempurna tetapi pada peringkat awal ini saya belajar banyak perkara seperti teknikal dan promosi.

“Saya juga berpuas hati dengan keserasian peminat yang seronok dan sama-sama menyanyikan lagu-lagu saya sepanjang konsert ini.

“Ada juga peminat yang sanggup datang dari jauh termasuk Singapura untuk menonton konsert ini. Yang penting, apa yang saya mahukan selama ini tercapai pada malam ini. Saya sangat bersyukur,” katanya lagi yang turut menerima kejutan ulang tahunnya ke-21 di hujung konsert itu.

Pemenang Juara Lagu menerusi lagu ‘Pergi’ di Anugerah Juara Lagu ke-23 ini berharap agar dapat mengubah dirinya menjadi lebih baik pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: