Sunday, January 30, 2011

Bahasa di radio swasta

SALAH satu sebab Siti tak berapa gemar dengan sesetengah radio swasta adalah kerana bahasanya. Bagi Siti bahasanya boleh dikatakan biadap, walaupun bagi orang sekarang, “ala biasalah”.

Kalau orang kata dengar radio boleh menenangkan fikiran, bagi Siti beberapa deejay radio swasta boleh menaikkan darah.

Istilah macam “kau orang” yang disebut bunyinya “korang” saja, lepas itu memekik pendengar dengan “hoi” tak kira lagi yang deejay perempuan mengilai macam zombi, ketawa macam perempuan di lorong.

Masa sekolah dulu, cikgu Siti kata, kalau kita bercakap dengan orang, jangan membahasakan diri orang itu “kau” di depan majlis. Berhubung dengan pendengar adalah dikira rasmi. Tak elok sangatlah kalau memanjang istilah “kau orang”, “aku” dan “hoi” digunakan.

Orang kata, kalau cakap tertib rancangan radio itu “tak hidup”. Siti pun tak faham, adakah nak bagi hidup kita kena membiadapkan diri, guna istilah-istilah kasar dan umpama di pasar ikan Chow Kit? Barangkali kalau membahasakan pendengar sebagai “anda”, rancangan itu sudah jadi basi. Untuk tak nak basi, kenalah gunakan “kau orang”. Tolonglah jangan biadap sangat menggunakan istilah yang kasar dan terkeluar dari tatasusila Melayu.

Siti tegur ini sebab kebanyakan deejay itu Melayu. Yang bukan Melayu pula lebih tertib. Bahasa Melayunya jauh lebih elok daripada deejay Melayu yang kononnya nak “urban”. Eh, urban tu apa ya? Mungkin urban itu kena ketawa dan mengilai macam di lorong-lorong itu ya?

Adakah ini diterima sebagai nilai baru untuk masyarakat Melayu zaman baru? Perlakuan yang dulunya dianggap biadap, kini sudah diterima? Agaknya itulah makna kemajuan dan moden yang akhirnya kita terpaksa tersenyum bangga melihat anak-anak kita membahasakan “kau orang” dengan kita.

Peneraju stesen radio swasta juga kenalah peka kepada perkara begini. Gelagat deejay kena kawal juga. Kalau gelagat deejay macam tepi longkang, akhirnya stesen itu juga bertaraf tepi longkang.

Adakah anda deejay yang bijaksana memahami maksud ini?

SITI JARUM: Tak pernah ketawa mengilai...seramlah.

Tak perlu hantar artis

KEBERGANTUNGAN sesetengah kepada kita kepada artis kononnya untuk menyampaikan sesuatu maklumat sangat tinggi. Bagi mereka, kalau tak ada artis semua kerja tak menjadi. Semua acara orang tak tengok. Semua iktibar tak sampai kepada orang ramai.

Kalau boleh khutbah pun dia orang nak artis yang baca. Macam dia orang suruh artis jadi pengacara dan deejay untuk menarik perhatian orang. Tapi Siti tak setuju kalau ini dianggap cara kita mengangkat kedudukan artis dalam masyarakat.

Kerana itu Siti sangat setuju dengan pendirian tegas Menteri Pertahanan Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kementerian Pertahanan tidak bercadang menghantar artis untuk menghiburkan angkatan tentera kita di luar negara.

Bagi Siti, ini satu pendirian berani untuk menongkah arus yang kebergantungan sesetengah pihak kepada artis. Masa hantar artis ke Congo dulu pun Siti tengok bukanlah langkah yang baik. Tapi benda dah lepas, tak mengapalah. Jangan pula benda yang sama hendak diulang. Dulu kita dah buat silap kerana kesan artis menghiburkan tentera kita di Congo itu tidak seberapa.

Kalau dibuat lagi ketika ini, bagi Siti, cara begini samalah dengan memperkecilkan semangat tentera kita. Bayangkan tentera dari Malaysia disogokkan dengan hiburan baru boleh bertahan. Ini satu yang tidak benar sama sekali, tentera kita amat kental semangat juangnya. Tidak perlulah kononnya untuk membangkitkan semangat di negara orang.

Tidak usahlah menyerabutkan fikiran tentera kita dengan gaya tergedik-gedik artis macam membuat persembahan di padang sekolah. Kadangkala Siti terfikir juga adakah ini kerana orang Melayu suka sangat berhibur dan hiburan? Bagi Siti, syor menghantar artis ke luar negara itu tidak usah dilayan. Bagus cara Dr. Ahmad Zahid menegaskan pendiriannya.

Kita sudah terlebih menggunakan artis sebenarnya, secara tak langsung seolah-olah tak boleh hidup tanpa artis. Buktinya semua bidang kita bagi kepada artis yang tak ada kepakaran dalam bidang-bidang tertentu. Peluang berlakon teater artis sebat, peluang jadi deejay pun artis rembat, jadi pengacara pun sama juga. Cukup-cukullah tu.

SITI JARUM: Artis kita banyak jadi duta...duta produk.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: