Sunday, January 30, 2011

Anugerah Profima pincang prestij


Penerima Anugerah Tokoh Profima, dari kiri Ku Seman Ku Hussain, Zahrah Ibrahim (balu Allahyarham Dr. Anuar Nor Arai) dan Yusof Haslam.


SEPATUTNYA, Malam Anugerah Profima (Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia) 2010 di Hotel Palace Of The Golden Horses, Kuala Lumpur baru-baru ini berlangsung dengan penuh prestij.

Begitulah yang dicanang oleh Profima sebelum ini.

Bagaimanapun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kelemahan Profima cukup ketara melalui beberapa kesilapan yang dianggap tidak sepatutnya berlaku.

Daripada awal pembukaan majlis, pemilihan pengacara majlis, pengumuman calon sehingga penyampaian anugerah, semuanya tampak serba tidak kena.

Lebih malang apabila berlaku kesilapan pengumuman nama pemenang sehingga ada yang menyangka ini sebahagian daripada gimik pada malam itu.

Kekusutan itu berlaku ketika pengacara mengumumkan Mohd Feroz Abd Kader Saheb sebagai pemenang pengarah Drama Terbaik walhal anugerah itu sebenarnya dimenangi oleh Heykal Hanifa menerusi drama Asmara. Kelakar sungguh bukan?

Kesilapan yang sama juga berlaku apabila Edry Abdul Halim diumum sebagai Editor Filem Terbaik sedangkan anugerah berkenaan dimenangi oleh Syamsul Yusof menerusi filem KL Drift 2 arahannya. Apa sudah jadi ni?

Majlis yang dihoskan oleh Serina Redzuawan, Azrul (Raja Lawak) dan Azhariah Tagaya itu juga agak meleret sehingga mengambil masa tiga jam setengah.

Mengakui kelemahan pada majlis itu, Presiden Profima, Khir Mohd. Nor berkata, pihaknya menyedari perkara itu namun tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan majlis perlu diteruskan.

"Saya memang sedar terdapat beberapa kesilapan pada malam itu terutama pengumuman nama pemenang.

"Bagaimanapun, itu bukan sebahagian daripada gimik atau 'drama' untuk menghangatkan majlis. Saya juga tidak terlibat dalam hal itu.

"Semua pemilihan pemenang dibuat oleh tujuh juri yang dilantik. Saya pun tidak tahu macam mana boleh ada kesilapan pemenang.

"Saya juga terpaksa menghormati keputusan juri untuk mengumumkan nama pemenang sebenar semasa majlis berlangsung. Bagi pihak pengajur, saya mohon maaf di atas kesilapan itu," katanya.

Selain itu, Khir memberitahu, kelemahan majlis turut dipengaruhi faktor kekurangan masa raptai.

"Kami buat raptai sekali sahaja iaitu pada petang Selasa dan saya diberitahu pihak jawatakuasa bahawa semuanya berjalan lancar.

"Saya pun tak sangka masalah teknikal begini akan berlaku semasa majlis berlangsung.

"Bagaimanapun saya harap semua pihak faham memandangkan ini kali pertama majlis anugerah ini dianjurkan di bawah nama Profima walaupun sudah tujuh tahun ia dilaksanakan.

"Pada masa akan datang saya akan pastikan masalah seperti ini dapat diatasi bagi memastikan majlis berjalan dengan sempurna," ujarnya.

Dia yang ditemui usai majlis berlangsung turut ditanya berhubung 62 kategori pertandingan yang menyaksikan sebahagian daripada penerima menang tanpa bertanding.

Menurut Khir, ia berlaku selepas calon-calon di bawah kategori yang dipertandingkan didapati tidak memenuhi kriteria dan kehendak juri.

Bagaimanapun, katanya, bagi mengisi kekosongan pada kategori tersebut, nama pemenang yang layak harus diumumkan.

Malam anugerah Profima 2010 menyaksikan filem Magika arahan Edry Abdul Halim membolot empat anugerah daripada 20 kategori yang dipertandingkan.

Magika membawa pulang trofi dan sijil menerusi Anugerah Kesan Visual Terbaik, Audio Terbaik, Kostum Terbaik dan Pengarah Seni Terbaik.

Kategori telefilem pula menyaksikan Sebelum Akhirat membawa lima anugerah iaitu Penerbit Terbaik, Editor Terbaik, Solekan Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Telefilem Terbaik.

Ia sekali gus menjulang nama Zainuddin Mohd Ismail sebagai Produser Terbaik pada malam itu.

Dalam pada itu, sebagai penghargaan, Profima turut menyampaikan anugerah Tokoh Profima 2010 kepada penerbit filem Datuk Yusof Haslam.

Turut menerima anugerah sama, Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain dan ahli akademik yang juga sarjana filem, Allahyarham Dr. Anuar Nor Arai.

Sebelum ini, Anugerah Profima dikenali sebagai Anugerah Oskar dan ia bertujuan memberi pengiktirafan kepada pekerja belakang tabir dan meraikan pencapaian mereka dalam bidang kerja masing-masing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: