Wednesday, December 29, 2010

Projek 2011 Saif, Kareena


MENGECAPI keindahan cinta bersama, Saif dan Kareena dikatakan bakal berkahwin pada tahun 2011.


AKTOR terkenal Bollywood, Saif Ali Khan begitu teruja menanti ketibaan Tahun Baru 2011 yang bakal menjelma dua hari lagi.

Ini kerana dia bersama teman wanitanya, aktres Kareena Kapoor bakal menyambut hari tersebut dalam suasana sejuk dan bersalji di resort ski Gstaad di Switzerland yang merupakan lokasi percutian kegemaran pasangan tersebut.

Saif mahu menikmati percutian sepenuhnya bersama kekasih hatinya itu sebelum kembali sibuk dengan karier lakonannya sepanjang 2011.

Perkahwinan

Selepas tidak muncul dengan filem-filem baru lakonannya sepanjang 2010, satu demi satu filem lakonannya dijadualkan untuk tayangan 2011 seperti filem Agent Vinod, Aarakshan dan sebuah filem yang belum berjudul gandingannya bersama aktres Deepika Padukone.

Menurut Saif yang kali terakhir muncul pada 2009 menerusi filem Kurbaan, wajahnya tidak muncul di layar perak sepanjang 2010 memandangkan dia sangat sibuk menjalani penggambaran filem Agent Vinod yang menggandingkannya dengan Kareena.

Filem penuh aksi menyaksikan Saif kembali muncul dalam filem genre tersebut. "Agent Vinod merupakan sebuah filem yang agak mencabar, khususnya dari segi fizikal tetapi ia juga sangat menyeronokkan," ujarnya.

Dalam pada itu dia mengakui tetapi menyukai filem genre percintaan.

"Saya menggemari filem percintaan, tetapi saya juga penggemar filem aksi. Sebagai aktor, saya mengakui sangat tamak dan begitu berkehendak untuk muncul menerusi kedua-dua genre filem tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Saif turut mengulas mengenai spekulasi bahawa dia bakal berlakon dalam filem terbitan Vishal Bhardwaj yang kini bekerjasama dengan aktor Shah Rukh Khan.


SAIF dan Kareena gemar bercuti di Switzerland yang merupakan lokasi untuk mereka untuk lari seketika dari kesibukan karier mereka sebagai pelakon di Bollywood.


"Saya dan Vishal masih dalam rangka untuk menjalinkan kerjasama. Projek yang menggandingkan kami masih diteruskan," jelasnya.

Menyentuh pula mengenai spekulasi perkahwinannya dengan Kareena yang dikatakan bakal berlangsung pada 2011, tenang dia menjawab: "Saya dan Kareena sememangnya akan berkahwin suatu hari nanti, tetapi kami belum ada perancangan untuk itu buat masa ini.

"Kami akan bersedia untuk berkahwin apabila Kareena bersetuju untuk itu dan kami tidak akan menyembunyikan perkara baik itu daripada pengetahuan pihak media."

Salman, Shah Rukh, Imran Khan

Sepertimana kekasihnya, Kareena Kapoor juga begitu teruja dengan kemunculan 2011. Ini kerana dia bakal bergandingan dalam filem dengan nama-nama besar Bollywood yang mempunyai nama keluarga Khan, termasuk dengan Saif sendiri.

Pada awal 2001, dia bakal memulakan penggambaran fi;em arahan Karan Johar, Short Term Shaadi bersama aktor muda, Imran Khan.

Selepas itu, Kareena bakal bergandingan dengan aktor Salman Khan untuk filem adaptasi filem Hollywood, Bodyguard yang bakal diarahkan oleh Atul Agnihotri.

Dia juga bakal bergandingan dengan Shah Rukh Khan menerusi filem Ra. One, selain bakal muncul dengan filem Agent Vinod di samping Saif yang juga memiliki nama keluarga Khan!

Bukan sahaja gemilang menerusi kemunculan di layar perak, 2011 juga menjanjikan sesuatu yang positif buat dirinya dalam bidang pengiklanan apabila bakal muncul dalam beberapa iklan mega bersama Salman dan Saif.

Cuma, dia tidak mempunyai sebarang projek baru bersama seorang lagi aktor Bollywood tersohor dari keluarga Khan iaitu Aamir Khan, tetapi mereka pernah bergandingan menerusi filem pecah panggung 2009, 3 Idiots.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: