Wednesday, December 29, 2010

Penjual gelaran Datuk dicari polis


Jaspal Singh


SEREMBAN – Polis sedang mengesan seorang lelaki berhubung kes penipuan menjual anugerah gelaran Datuk kepada seorang ahli perniagaan pada tahun lalu.

Lelaki berkenaan, Jaspal Singh a/l Ajaib Singh, 36, dipercayai dapat membantu siasatan kes tawaran anugerah gelaran itu kepada seorang ahli peniagaan berkenaan membabitkan bayaran RM20,000.

Seorang jurucakap polis berkata, mangsa mendakwa ditawarkan seorang lelaki anugerah ‘Datuk’ sekiranya sanggup membayar sejumlah wang.

“Mangsa kemudiannya dikehendaki membayar deposit berjumlah RM5,000 kononnya sebagai kos tempahan meja untuk satu majlis santapan diraja di sebuah hotel terkemuka di sekitar ibu negara.

“Bagaimanapun, mangsa yang curiga dengan lelaki berkenaan tidak membuat sebarang bayaran dan melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya di sini semalam.

Katanya, polis kini sedang mengesan suspek yang juga seorang ahli perniagaan dan alamat terakhirnya di No.22, Jalan Teladan 25/22, Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai Jaspal Singh diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Haffiz Rosni di talian 012-4995823.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: