Wednesday, December 29, 2010

Amy taruhan terbaru Idham




SELEPAS berjaya dengan filem Adnan Sempit yang mencecah kutipan pecah panggung RM7.66 juta, pengarah Ahmad Idham mempertaruhkan pula filem seram terbarunya yang berjudul Damping Malam.

Meskipun pernah mengarah filem seram pecah panggung seperti Jangan Pandang Belakang, Congkak, Jangan Pandang Belakang Congkak, Niyang Rapik dan Jangan Pandang Belakang Congkak 2, namun filem Damping Malam tetap membuatkan pengarah yang telah menghasilkan 19 buah filem itu tidak senang duduk.

Menurutnya ketika ditemui pada majlis pratonton filem tersebut di Cathay Cineplex, Cineleisure Damansara baru-baru ini filem Damping Malam sangat berbeza dengan filem seram arahannya sebelum ini.

“Biasanya filem seram saya akan menampilkan remaja atau kanak-kanak sebagai pelakon utama tetapi kali ini ia berbeza kerana Amy Mastura yang akan memikul tugas itu.

“Jalan cerita juga lebih bersifat kekeluargaan dan perjalanan ceritanya agak tenang berbanding filem seram saya sebelum ini yang mana banyak hantu akan keluar,” tutur Idham.

Menyentuh pemilihan Amy Mastura selaku peneraju utama filem terbitan Metrowealth Pictures Sdn. Bhd. itu, Idham menjelaskan, nilai eksklusif yang ada pada Amy menyebabkan dia terpilih daripada beberapa nama yang lain.

“Bagi saya, penampilan Amy Mastura dalam filem ini amat bagus. Saya menawarkan Amy berlakon disebabkan nilai eksklusif yang ada pada dirinya, tambahan dia jarang lagi berlakon, kalau ada pun dia memilih filem-filem tertentu.

“Saya yakin dia mampu menarik penonton untuk ke panggung dan sahaja kebetulan pula, sebelum ini belum ada mana-mana filem yang mengganding Amy Mastura dan Eizlan Yusof,” jelasnya.

Selain menyandang tugas sebagai pengarah, Idham juga turut berlakon dalam filem ini sebagai suami kepada watak Ku Khalira (Amy Mastura) dan bapa kepada Nuraiza (Erynne Erynna).

Tidak berlakon dalam tempoh yang lama iaitu 13 tahun tidak membuatkan Idham rasa kekok berada di hadapan kamera, bagaimanapun akuinya dia akan menolak andai watak yang harus dipikul itu adalah watak utama.

“Rasanya sudah 13 tahun saya berehat sebagai pelakon. Filem terakhir lakonan saya adalah filem Anaknya Sazali. Tetapi dalam filem ini saya bukanlah pelakon utama. Saya hanya pelakon pembantu sahaja. Sebenarnya bila lama tidak berlakon, rasa rindu untuk berlakon wujud.


BARISAN karyawan filem Damping Malam (dari kiri) Eizlan Yusof, Erynne Erynna, Amy Mastura dan Ahmad Idham.


“Sebelum ini, banyak watak sebegini datang kepada saya. Namun, saya berikan watak tersebut kepada kawan-kawan yang lain. Dalam filem ini pun pada saat-saat akhir baru saya masukkan nama saya dalam barisan pelakon.

“Kehadiran saya bukan sebagai pelakon utama kerana tarikan untuk filem Damping Malam ialah Amy Mastura dan Erynne Erynna, kalau watak utama saya tidak berani ambil,” balasnya.

Amy yang dilihat agak kaku dan tidak ceria dalam filem tersebut menjelaskan, dia sengaja diminta untuk berlakon sedemikian oleh Idham memandangkan wataknya yang mempunyai banyak rahsia.

“Memang kaku tetapi itu atas permintaan pengarah, saya diminta supaya jangan berlakon bersahaja kerana watak saya merupakan seorang wanita yang baik tetapi banyak rahsia tersembunyi di sebalik kebaikan yang ditonjolkan.

“Orang selalu lihat Amy yang ceria dan suka berceloteh tetapi dalam Damping Malam karakter yang diberikan sangat bertentangan dengan Amy yang sebenar,” katanya.

Filem Damping Malam yang akan menemui penonton bermula pada hari ini mengangkat kisah seorang isteri bernama Ku Khalira (Amy Mastura) yang terlalu takut hidup dalam kesepian. Dia bersama suaminya Wadi (Ahmad Idham) adalah pasangan bahagia yang dikurniakan seorang anak bernama Nuraiza (Erynne Erynna).

Dalam kebahagiaan itu, rupa-rupanya hati Ku Khalira memberontak kesepian dengan layanan suami yang terlalu sibuk bekerja. Perasaan itu mula menghantui diri Ku Khalira setelah anaknya dihantar ke sekolah asrama penuh.

Namun sejak anaknya masuk ke asrama, pelbagai perkara pelik berlaku dalam keluarganya. Malah, Nuraiza juga dirasuk ketika berada di asrama itu dan ia ada kaitan dengan rahsia yang terpendam dalam diri Ku Khalira.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: