Tuesday, November 30, 2010

AJL25: Tomok Tunggu 10 Tahun

Tomok gembira dengan penghasilan album solo pertamanya.

KUALA LUMPUR: Setelah setahun bergelar Juara One In A Million 3 (OIAM), Tomok atau nama sebenarnya, Shah Inderawan Ismail akhirnya memiliki sebuah album solo yang berjudul Tomok.

Kata Tomok, walaupun setahun menunggu kemunculan album baru, dia gembira kerana sebanyak empat buah lagu daripada albumnya seperti, Berlari, Arjuna, Rindu Terhenti dan Bagaikan Bidadari telahpun diputarkan di radio dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pendengar-pendengar radio.

"Apa yang menggembirakan saya lagi, lagu 'Berlari' telah berjaya ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25). Dan pencapaian ini telah saya idam-idamkan sejak 10 tahun lalu ketika bersama New Boyz.

"Tiga lagu lain juga mendapat tempat di hati peminat-peminat. Mungkin inilah masanya saya mendapat apa yang diinginkan selama ini. Pengorbanan yang dilalui sebelum ini berbaloi.

"Tambah pula dalam penghasilan album solo ini saya juga terbabit sebanyak 90 peratus.Ternyata OIAM3 banyak mengubah jalan hidup dan karier saya.

"Kiranya album ini adalah jiwa saya dan memang saya ingin memberi satu perubahan dalam album ini.

"Selain itu, album ini juga sangat bermakna saya dapat berkerjasama dengan nama-nama besar seperti Aubrey Suwito, Audi Mok, dan Aidit Alfian," kata Tomok pada pelancaran album 'Tomok', di sini, Jumaat.

Album Tomok kali ini dilihat lebih matang dan berbeza dengan diri Tomok terdahulu. Malah, lagu-lagu yang dibawakan diibaratkan seperti nafas baru Tomok dalam industri muzik tempatan.

Tomok pada pelancaran albumnya yang diadakan di Hard Rock baru-baru ini.

Bagaimanapun, Tomok menjelaskan bahawa penghasilan album tersebut tidak bermakna dirinya tamat bergelar salah seorang ahli kumpulan new Boyz.

Sebaliknya, ini sebagai permulaan untuk Tomok membero fokus pada nyanyian solonya dan kemudian sebuah projek baru akan dibuat bersama New Boyz pula.

"Sekarang ini saya sibuk dengan promosi album dimana pihak pengurusan Monkeybone akan mengadakan konsert jelajah ke seluruh Malaysia.

"Lagipun, sebelum menyertai OIAM3, Tomok dan ahli-ahli New Boyz telah berbincang dimana saya akan fokus dengan album solo dahulu dan mereka menerimanya. Apapun saya akan muncul dengan New Boyz bila tiba masanya nanti," jelas penyanyi yang turut menyumbang beberapa lirik lagu dalam albumnya itu.

Sementara itu, Tomok telah menimbulkan persoalan kerana dia tidak mengikut seperti yang dikatakannya dimana dia ingin menggunakan nama sebenarnya, Shah Inderawan dan bukan Tomok untuk projek solonya itu.

Bagaimanapun, penyanyi itu menjelaskan dia mempunyai alasan sendiri untuk mengekalkan nama Tomok itu.

"Memang pada mulanya saya nak tukar nama untuk album solo pertama saya ini. Tapi bila difikirkan semula, saya tidak perlu menukar nama Tomok kerana nama itulah yang menaikkan nama saya sebelum ini.

"Walaupun ia dibayangi dengan nama New Boyz, saya tak kisah kerana saya tak pernah malu pun sepanjang saya dan New Boyz bersama," jelasnya yang akan mengadakan konsert jelajah selepas AJL25.

1 comment:

  1. go caiyok!
    walopon dlu ko band cap2 ayam kampung, skrg ko solo lagi hebat!

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: