Thursday, October 28, 2010

Zul Yahya nafi terlibat najis dadah



Kehilangan pelakon dan pelawak Zul Yahya daripada industri seni hampir setahun, mengundang pelbagai persepsi. Paling ketara, dia dikaitkan dengan masalah ketagihan dadah.

Malah, susuk tubuhnya yang dilihat semakin kurus menguatkan lagi khabar angin yang bertiup kencang itu.

Saat diajukan mengenai dakwaan itu, Zul tidak kelihatan terkejut, malah mengakui turut mendengar khabar angin sama dan menganggap ia sekadar resam perjalanannya sebagai anak seni.

“Kehilangan saya dalam industri seni dalam tempoh setahun ini bukanlah disebabkan saya cuba memulihkan diri daripada ketagihan dadah. Memang macam-macam versi saya dengar mengenai cerita saya mengambil dadah.

“Ingin saya tegaskan di sini, kehilangan saya selama setahun ini adalah disebabkan saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga. Jika benar saya hilang kerana dadah, sepatutnya saya hilang sebelum berkahwin bukan selepas berkahwin.

“Badan yang semakin kurus ini disebabkan saya kurang rehat kerana berniaga di restoran dan banyak benda yang perlu saya buat. Jadi, bila kurang rehat secara automatik saya hilang selera makan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Zul, jika benar dia terlibat dengan dadah tentulah hidupnya bersama isteri tercinta tidak pernah bahagia.

Katanya, orang hanya pandai menyebarkan selepas mendengar dari mulut orang lain tanpa melihat dengan mata sendiri.

Tidak cukup dengan dakwaan terlibat dengan najis dadah, Zul juga dikatakan sombong dan enggan menyahut teguran peminat selepas terkenal melalui beberapa siri TV popular.

“Saya manusia biasa yang tidak boleh memenuhi kemahuan semua orang. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jangan menilai orang dari luaran tanpa mengenal siapa sebenarnya diri saya.

“Saya akui watak saya sebenarnya sangat berbeza daripada apa yang peminat lihat dalam TV. Walaupun saya sering membawakan watak komedi, saya sebenarnya seorang yang serius di luar set. Tapi itu bukan bermakna saya sombong, cuma saya tidak suka orang menegur saya secara kasar.

“Kita punya adat, budaya, saya begitu senang jika orang sesama agama menegur saya dengan memberi salam. Bukannya menjerit memanggil “oi” atau perkataan yang tidak menggambarkan budaya kita,” katanya yang akan muncul dalam drama bersiri komedi terbaru, Takut Bini, Sayang Suami di TV9 November ini.

Tambah Zul lagi, dia bukan mahu berlagak bagus cuma dia punya pendiriannya dan sebagai manusia biasa dia mahu peminat menghormatinya.

“Kalau yang menegur saya cara kasar itu budak kecil, mungkin saya boleh membetulkan, tapi jika orang dewasa yang berbuat begitu, saya rasa tidak wajarlah. Memberi contoh yang tidak baik.

“Jika jumpa saya, tegur saya dengan memberi salam, saya tiada masalah untuk melayan peminat saya,” katanya yang kini mempunyai dua orang cahaya mata berusia dua tahun dan sepuluh bulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: