Friday, October 29, 2010

Wang dikebas menerusi Internet

BAYAN LEPAS – Seorang warga emas terkejut apabila mendapati jumlah wang simpanan di dalam akaun bank yang sepatutnya berbaki RM7,215 hanya tinggal RM335 baru – baru ini.

Mangsa, Che Ross Ismail berkata, kejadian itu hanya disedari selepas beliau mengeluarkan wang pencen menerusi mesin wang automatik (ATM) di sebuah cawangan bank itu di Relau beberapa hari lalu.

“Tanpa membuang masa, saya terus membuat laporan di Balai Polis Bayan Lepas dan selepas itu, saya diarahkan ke Balai Polis Bayan Baru untuk memberikan kenyataan.

“Kemudian, saya ke bank tersebut untuk membuat laporan rasmi kepada pegawai bank yang bertugas agar tindakan dapat diambil,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan, pihak bank memaklumkan bahawa wang miliknya telah dikeluarkan menerusi transaksi perbankan Internet.

“Lebih menyedihkan apabila pihak bank memaklumkan bahawa mereka tidak dapat mengenal pasti siapa atau ke mana wang tersebut disalurkan.

“Malah ia tidak boleh diganti kecuali kakitangan bank yang menyebabkan kehilangan wang tersebut dan segala simpanan saya selama ini lenyap begitu sahaja,” katanya yang berusia 67 tahun.

Beliau yang tinggal di Kampung Baru, Sungai Ara amat keliru dengan kehilangan wang simpanan tersebut sedangkan beliau tidak pernah memiliki apatah lagi mengaktifkan akaun perbankan Internet.

“RM7,215 itu bukannya sedikit dan ia merupakan simpanan untuk digunakan ketika kecemasan nanti.

“Baki yang ada di dalam akaun itu pun merupakan baki wang pencen yang baru dimasukkan baru – baru ini.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab itu menyapu licin segala hasil titik peluh saya dan lebih mengecewakan apabila prosedur yang diamalkan oleh pihak bank seolah-olah ingin melepaskan tangan apabila ada insiden seumpama ini menimpa pelanggan,” katanya yang merupakan pesara buruh am.

Che Ross berkata, beliau menyesal kerana hanya memiliki satu akaun bank sahaja di mana hasil wang simpanan dan pencen bulanan disalurkan ke akaun yang sama.

“Saya tidak menyangka perkara seperti ini akan menimpa dan saya berharap agar masyarakat dapat mengambil iktibar dari kejadian ini.

“Saya juga berharap agar pihak berkuasa dapat menyiasat dan menyelesaikan masalah ini sebelum orang lain turut menjadi mangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: