Thursday, September 30, 2010

Sempat bebas cuma 15 minit


YONG TOE (kiri) diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Kuantan selepas didakwa atas tuduhan mengedar 753 kilogram syabu semalam.


KUANTAN – Seorang pemandu lori, Lee Yong Toe yang berhadapan hukuman mandatori gantung sampai mati atas tuduhan mengedar 753 kilogram dadah syabu bernilai kira-kira RM254 juta di Rompin pada 2 Mei tahun lalu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Tertuduh yang diwakili empat peguam diketuai Datuk V. Sithambaram bagaimanapun hanya sempat meraikan kebebasan tersebut selama 15 minit sebelum ditangkap semula bagi membolehkan dia ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985). Dia ditahan di luar pagar mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir semasa membacakan penghakimannya berkata, Yong Toe, 48, dibebas dan dilepaskan daripada dakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan dadah yang dirampas itu kepunyaan tertuduh dan oleh itu dia didapati tidak bersalah dan memerintahkan dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan,” katanya.

Menurut fakta kes, Yong Toe dari Taman Iskandar, Johor Bahru, Johor dituduh mengedar 753 kilogram dadah syabu bernilai RM254 juta di Jalan Chenderawasih dekat Rompin ketika polis mengadakan sekatan jalan raya pada pukul 6.45 pagi 2 Mei 2009.

Dia dituduh membawa dadah tersebut dalam sebuah lori ais bersama seorang lelaki yang masih bebas ketika melalui tempat serbuan.

Sebelum penahanan semula pemandu lori itu, Akhtar dalam penghakimannya berkata, kegagalan pasukan pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin dan Ahmad Fadhli Mahmud untuk memanggil dua saksi penting berhubung kes itu juga menjadi faktor penentu nasib tertuduh dalam kes berkenaan.

Ujar Akhtar, perbicaraan kes berkenaan juga diselubungi kontroversi selepas mahkamah dimaklumkan mengenai laporan palsu dibuat pengadu dan salah laku beberapa anggota polis yang menjadi saksi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: