Thursday, September 30, 2010

Selamatkan Bayi, Remaja Hamil - Pengarah JAIM

Masa depan remaja kini lebih terjamin selepas mendaftarkan dri di Sekolah Harapan.

TIADA manusia tidak pernah melakukan kesilapan, begitulah senario yang dapat dilihat kepada pelajar Sekolah Harapan yang sedang hamil luar nikah.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Sulaiman Harmain Shah berkata, remaja masih muda dan tidak matang menyebabkan segelintirnya mudah terpengaruh.

“Ini menyebabkan antaranya tersilap langkah dan akhirnya menjerat diri sendiri akibat terjebak dengan aktiviti sosial bebas sehingga berlakunya zina.

“Walaupun zina adalah perbuatan terkutuk, tetapi tidak bermakna mereka g terlanjur tidak patut diberikan perlindungan,” katanya kepada Mingguan mStar.

Katanya, bayi adalah anugerah Allah dan sekiranya remaja hamil luar nikah tidak dibela, kemungkinan berlakunya pembuangan dan pembunuhan bayi.

“Kita mahu selamatkan kedua-duanya, bayi dan remaja hamil. Sekolah Harapan memberi perlindungan sekaligus menyelamatkan nyawa tidak berdosa,” tambahnya.

JAIM berperanan sebagai pentadbir urus dan penyedia kemudahan Sekolah Harapan menerusi peruntukan daripada Kerajaan Negeri Melaka.

Sulaiman berkata, JAIM akan melantik beberapa guru Kelas Fardhu Ain (Kafa) bersesuaian dengan subjek tertentu sebagai pengisian pembelajaran.

“Modul pembelajaran itu juga perlu bersesuaian dengan kematangan pelajar serta menjurus kepada usaha meningkatkan aqidah dan moral.

“Kesemuanya mengikut jadual ditetapkan kecuali pengisian bersolat dan mengaji yang harus dipraktikan pada setiap hari,” ujarnya.

Lebih kurang 1,000 guru Kafa pelbagai bidang berkhidmat di Melaka dan pemilihan sebagai pengajar Sekolah Harapan berdasarkan keprihatinan dan kemesraan mereka.

Pendekatan digunakan secara berbeza berbanding biasa kerana pengajar perlu mempunyai sifat penyayang dengan menganggap pelajar sebagai keluarga.

Semua permohonan dan penilaian melibatkan Jawatankuasa Penilaian yang diketuai Pengerusi Panel Kemasukan Sekolah Harapan, Rahimin Bani.

Beliau berkata, JAIM turut mendapat kerjasama daripada hospital, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pelajaran Negeri.

Katanya, sekolah itu bukan rumah hukuman tetapi sebaliknya penyertaan adalah sukarela dan kemasukan berdasarkan persetujuan ibu bapa pelajar.

Menurut Sulaiman, sekolah itu bukan penjara dan kemasukan bukan disebabkan perintah mahkamah tetapi atas dasar kepercayaan untuk diberikan bantuan.

“Daripada membiarkan mereka tidak tentu arah, tidak mahu belajar hanya kerana hamil, biarlah mereka diberikan peluang seperti insan lain di Sekolah Harapan.

“Diharapkan mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik pada masa akan datang dan paling utama tidak mengulangi kesilapan dilakukan sebelum ini,” katanya.

1 comment:

  1. Alhamdulilah, syukur JAIM telah memainkan peranan yang bagus dan menyediakan kemudahan pendidikan kepada golongan yang memerlukan bantuan. Mereka juga manusia yang mempunyai hak untuk belajar dan mendapat pendidikan. Janganlah kita sisihkan mereka ini dari masyarakat sebaliknya kita patut bimbing dan bukannyer mencaci mereka ini.SYABAS JAIM.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: