Wednesday, September 29, 2010

Presiden Afghanistan menangis kenang nasib anak


HAMID KARZAI menangis semasa berucap pada Hari Celik Huruf di Kabul semalam.


KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai semalam mengalirkan air mata semasa menyampaikan ucapan yang menyentuh mengenai masalah keganasan yang dihadapi negaranya.

Beliau menyatakan kebimbangannya bahawa perang mungkin memaksa seorang anak lelakinya meninggalkan negara tersebut.

"Saya tidak mahu anak saya, Mirwais menjadi orang asing. Saya tidak mahu perkara itu berlaku. Saya mahu dia bersekolah di sini. Saya bersumpah bahawa saya sangat bimbang. Semoga Mirwais dijauhkan Tuhan daripada terpaksa meninggalkan Afghanistan," kata Hamid yang merujuk seorang anaknya yang baru berusia tiga tahun.

Ucapan yang dibuat sempena Hari Celik Huruf Kebangsaan itu ditayangkan secara langsung di televisyen dan rakamannya dihantar ke sebuah sekolah menengah di Kabul bagi mempromosikan pendidikan di negara yang 80 peratus penduduknya dipercayai buta huruf. Wanita dan para pegawai pentadbiran dilihat mengesat air mata ketika mendengar ucapan tersebut.

Hamid turut menyentuh mengenai perang yang telah memecah-belahkan negara, terutama konflik dengan kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Taliban selama hampir sembilan tahun serta kesannya terhadap golongan kanak-kanak.

"Anak-anak kita tidak boleh pergi ke sekolah kerana takut berlaku letupan, pengeboman berani mati dan bedilan," kata Hamid yang merujuk mengenai serangan Taliban selain operasi udara pihak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke atas kumpulan pemberontak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: