Thursday, September 30, 2010

Pentingnya menjaga kesihatan


Adalah penting bakal haji menjalani pemeriksaan kesihatan yang rapi untuk mengelak kesulitan semasa di Tanah Suci. - Gambar hiasan


SEPERTI tahun yang sudah-sudah, pada ketika menjelang kedatangan bulan Ramadan yang mulia, ramai bakal jemaah sibuk membuat persiapan untuk ke tanah suci. Sama ada sibuk menghadiri kursus ibadah haji ataupun sibuk membuat pemeriksaan kesihatan untuk mendapatkan kelulusan bagi ke tanah suci.

Semua maklum bahawa perjalanan ke Mekah untuk mengerjakan haji adalah salah satu perkara yang ditunggu-tunggu oleh semua orang Islam.

Ia merupakan kemuncak kepada perancangan dan persediaan yang dibuat selama beberapa tahun. Bagi kebanyakan bakal jemaah dan ia merupakan rukun Islam yang ke lima dan wajib dikerjakan bagi orang Islam yang mampu dari segi kewangan dan berupaya secara fizikal dan mental.

Berdasarkan pengalaman, ramai bakal jemaah takut menjalani pemeriksaan kesihatan dan menyembunyikan penyakit mereka. Tidak kurang juga ada yang mempertikaikan sejak bila pemeriksaan kesihatan menjadi salah satu dari syarat wajib haji.

Ramai yang lupa bahawa maksud: Allah mewajibkan mengerjakan haji bagi yang mampu dan berkuasa mengunjungi Baitullah. (ali-'Imran: 97) sangat luas.

Kemampuan itu bukan hanya dari sudut perbelanjaan tambang pergi balik dan untuk keluarga yang ditinggalkan tetapi juga dari segi kesihatan tubuh yang merangkumi komponen fizikal dan mental.

Artikel ini akan perkatakan kepentingan pemeriksaan kesihatan bagi bakal jemaah haji, persediaan yang perlu dilakukan sebelum berangkat ke tanah suci dan apakah cabaran yang bakal dihadapi di sana.

Persekitaran di tanah suci

Bakal haji perlu memahami keadaan di tanah suci. Ia sangat berbeza dengan keadaan di negara kita. Perbezaan paling ketara adalah dari segi perubahan cuaca.

Hawanya berdebu dan kering berbanding cuaca kita yang lembap. Perubahan suhu juga amat ketara dan ekstem. Purata suhu pada waktu siang adalah 30°C dan pada waktu malam adalah 18°C.

Perubahan suhu ekstrem dan keadaan berdebu itu mendedahkan bakal jemaah kepada jangkitan saluran pernafasan. Bakal haji dinasihatkan supaya menyemak keadaan suhu di media massa sebelum berangkat ke tanah suci.

Bila kita teliti ibadah haji itu sendiri memerlukan kekuatan fizikal seperti saie, tawaf dan melontar. Jemaah terpaksa berjalan beberapa kilometer untuk menunaikan ibadah-ibadah tersebut, terpaksa bermalam di Arafah, Mina dan Mudzalifah dengan kelengkapan tempat tidur dan tandas yang paling asas serta perlu berjalan untuk ibadah melontar untuk empat hari berturut-turut. Oleh kerana bilangan jemaah yang ramai, maka untuk melaksanakan sesuatu ibadah itu akan mengambil masa yang panjang.

Jemaah juga terpaksa berulang-alik ke masjid di mana jarak tempat penginapan dengan masjid adalah di antara 50 meter ke 700 meter. Ringkasnya jemaah haji terpaksa berjalan kaki ke mana saja sama ada untuk menunaikan ibadah atau urusan peribadi ketika di tanah suci.

Semasa musim Haji, populasi di Mekah mencecah hampir tiga juta orang yang datang dari segala pelosok dunia. Dengan bilangan jemaah yang ramai itu, banyak masalah kesihatan mungkin timbul yang disebabkan oleh kuman di bawa oleh jemaah negara lain.

Tambahan pula cuaca yang berlainan di tanah suci berbanding cuaca kita di sini. Justeru, amat penting bagi bakal jemaah menyiapkan diri untuk menjamin kesihatan diri dan seterusnya memudahkan kelancaran perjalanan haji.

Pentingnya pemeriksaan kesihatan

Lulus pemeriksaan kesihatan dan mendapat akuan doktor adalah salah satu peraturan haji kerajaan Arab Saudi sebelum visa haji diluluskan.

Bakal jemaah dinasihatkan tidak menyembunyikan penyakit yang mereka hidapi semata-mata untuk mendapatkan kelulusan kesihatan.

Dengan pemeriksaan kesihatan yang sempurna maka penyakit boleh dikesan lebih awal dan boleh pastikan ia mendapat rawatan yang sepatutnya. Apa yang diharapkan ialah segala penyakit yang dikesan mendapat rawatan yang optimum di tanah air supaya bakal jemaah sihat semasa di tanah suci dan dapat melakukan ibadah haji dengan sempurna.

Bakal haji yang menghidap penyakit-penyakit yang berisiko tinggi seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan lelah hendaklah memberitahu doktor supaya dicatatkan semua penyakit dan rawatannya ke dalam Buku Rekod Rawatan untuk rujukan semasa di tanah suci.

Dalam hal ini, eloklah bakal jemaah sendiri meminta atau memperingatkan doktor supaya merekodkan segala butir-butir mengenai penyakit kerana perkara itu mustahak, khususnya di waktu kecemasan di Tanah Suci.

Pastikan buku rekod rawatan anda lengkap diisi oleh doktor dan segala tambahan atau perubahan dos ubat-ubatan dicatit dalam buku.

Jemaah dinasihatkan membawa bekalan ubat yang mencukupi bagi sepanjang musim haji. Buku rekod rawatan hendaklah sentiasa berada di dalam beg galas dan di bawa bersama-sama. Ini untuk memudahkan urusan sekiranya berlaku kecemasan.

Perlu dinasihatkan bagi bakal haji yang menghidap penyakit jantung atau penyakit-penyakit lain dan memerlukan ubat khas yang diambil dari doktor pakar swasta atau Institut Jantung Negara, ubat-ubat itu hendaklah dibawa ke tanah suci secukupnya.

Ini kerana dikhuatiri ubat-ubat 'khas' tersebut tidak dapat diperolehi dari Klinik Malaysia atau farmasi di tanah suci.

Vaksinasi yang diambil juga mesti dicatitkan di buku rekod rawatan kerana tanpa vaksinasi wajib iaitu vaksinasi meningococcal, jemaah tidak dibenarkan masuk ke tanah suci.

Amat menekankan agar buku rekod rawatan diisi dengan lengkap dengan ubat-ubat dan dos yang terkini kerana hanya buku itu sahaja yang menjadi alat/media penghubung antara doktor di Malaysia dan doktor yang akan bertugas di tanah suci.

Jika buku tidak mempunyai maklumat lengkap maka doktor yang bertugas di tanah suci akan menghadapi kesulitan memberi rawatan yang sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: