Thursday, September 30, 2010

Magika kini di pawagam



Umum mengetahui filem Magika arahan pertama seorang daripada tiga adik-beradik yang mempunyai empayar besar dalam dunia seni iaitu Edry Abd Halim mendapat sambutan yang menggalakkan.

Mana tidaknya, boleh dikatakan filem ini adalah antara filem pelopor berbentuk muzikal pertama di Malaysia. Semestinya segenap lapisan masyarakat terutama sekali kanak-kanak teruja untuk menonton filem yang berada di pawagam itu.

Magika menghimpunkan kisah dongeng Melayu seperti Pak Pandir, Badang, Bawang Putih Bawang Merah, Orang Minyak dan banyak lagi ditambah dengan lagu yang menjadi penguat elemen muzikal yang menghiburkan.

Malah, bukan setakat lagu dan jalan ceritanya yang menjadi tarikan tetapi pelakon yang membintangi filem ini juga patut diberi pujian kerana berjaya bekerja dengan teknik janaan imej berkomputer (CGI) hampir setiap masa.

“Saya mendapat ilham untuk membuat filem ini adalah dari inspirasi yang saya dapat dari anak-anak saya. kita terbiasa melihat animasi dari barat.

“Mengapa kita tidak komersialkan kisah-kisah dongeng kita untuk tatapan anak-anak muda zaman sekarang,” kata Edry yang buat pertama kalinya menceburi bidang pengarahan filem.

Kisah dongeng yang digabungkan dengan dunia realiti memaparkan kisah sepasang adik-beradik iaitu Ayu (Diana Danielle) dan Malik (Fimie Don) yang baru kehilangan ibu mereka iaitu Ija (Fauziah Ahmad Daud).

Malik berasa sangat tertekan kerana merasakan dia punca kematian ibunya. Pada suatu petang, setelah bertengkar dengan kakaknya, Ayu, Malik melarikan diri ke dalam hutan dan terjumpa lalu terjatuh ke dalam sebuah perigi buta.

Ayu yang mencari Malik turut sama terjatuh ke dalam perigi buta itu dan terperangkaplah mereka di dalam dunia penuh fantasi Magika. Pengembaraan mereka ditambah dengan kesungguhan Ayu mencari adiknya yang diculik Nenek Kebayan (Ziana Zain).

Pengembaraan ini kemudiannya membawa kepada penemuan Ayu dengan Badang (Mawi), Mahsuri (Vanidah Imran), Pak Pandir (Aznil Hj Nawawi), Puteri Bunian (Maya Karin) dan banyak lagi watak dongeng Melayu yang lain.

Selain pengembaraan yang menakjubkan mesej yang ingin disampaikan juga jelas mengenai kekeluargaan dan pentingnya hubungan baik antara adik-beradik, malah orang yang berada di jalan yang benar biasanya sentiasa berjaya akhirnya mencapai matlamat.

Filem yang menelan kos keseluruhan RM2 juta ini, sedang rancak ditayangkan di pawagam malah dalam tempoh empat hari saja tayangannya sudah mampu meraih RM1.3 juta. Pastikan anda tidak melepaskan peluang baik untuk merasai kehebatannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: