Wednesday, September 29, 2010

Los Angeles catat suhu paling panas


SEORANG budak lelaki bermain air di sebuah air pancut di Los Angeles kelmarin.


LOS ANGELES - Bandar raya Los Angeles di Amerika Syarikat (AS) mencatatkan rekod suhu paling panas iaitu 45 darjah Celsius kelmarin sekali gus memaksa warganya menyejukkan badan di pantai atau tidak keluar dari rumah.

Menurut seorang pakar cuaca dari pejabat Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan, Stuart Seto, suhu di bandar raya itu mencecah 45 darjah Celcius selama beberapa minit sekitar pukul 12.15 tengah hari.

Ia memecahkan rekod suhu setinggi 44 darjah Celsius yang dicatatkan pada 26 Jun 1990.

Catatan bersejarah tersebut merupakan sebahagian daripada catatan suhu melebihi 38 darjah Celsius yang dicatatkan di kebanyakan bandar seperti di Anaheim dan San Luis Obispo yang pada kebiasaannya bercuaca nyaman.

Anggota-anggota bomba terpaksa memadamkan kebakaran kecil di kawasan Thousand Oak akibat cuaca panas. Sementara itu, Sekolah Los Angeles Unified membatalkan semua aktiviti luar, termasuk pertandingan sukan dan latihan.

Gangguan bekalan elektrik turut berlaku.

Lebih 30,000 pelanggan firma bekalan elektrik Southern California Edison terputus bekalan pada pukul 8 malam kelmarin.

Antara bandar yang terjejas kerana bekalan elektrik terputus ialah Santa Monica, Compton, Whittier dan Hollywood Barat di wilayah Los Angeles.

Pihak pengurusan Dewan Bandar Raya Los Angeles menggesa orang ramai menggunakan taman-taman, kemudahan rekreasi, pusat untuk warga emas dan perpustakaan bagi menyejukkan badan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: