Thursday, September 30, 2010

Harapan Kedua Si Terlanjur

Penubuhan Sekolah Harapan mampu memberi sinar baru kepada mereka yang terlanjur.

MEREKA melangkah masuk ke Sekolah Harapan adalah dengan kerelaan hati, tetapi hakikatnya mereka tidak pernah rela untuk hamil sebelum bernikah apatah lagi dalam usia yang masih mentah.

Tidak seperti perahu terlajak yang dapat diundur kembali, kumpulan lima pelajar pusat perlindungan itu yang pernah terlanjur bersyukur kerana pusat perlindungan ini menyambut baik kehadiran mereka walau hanya untuk tempoh tertentu sahaja.

“Setakat ini kesemua mereka nampak gembira tinggal di sini. Masing-masing tidak menunjukkan tanda-tanda mereka menghadapi masalah atau tekanan,” kata Penyelia Rumah Harapan, Saimah Hiran kepada Mingguan mStar, beberapa hari selepas sekolah kontroversi itu beroperasi.

Walaupun baru dibuka, Saimah memberitahu, setiap pelajar tidak akan terlepas daripada mengikuti aktiviti yang disediakan pihak pengurusan.

Katanya, sehingga kini, lima pelajar yang masing-masing datangnya dari Melaka, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Pahang itu juga tidak menghadapi masalah dalam pergaulan dan berkomunikasi.

Penyelia Rumah Harapan (asrama) Saimah Hiran (dua kiri) memberi taklimat kepada seorang pelajar yang mendaftar masuk ke Sekolah Harapan, baru-baru ini.

“Sebelum kelas bermula, kita adakan minggu orientasi selama seminggu bagi membolehkan mereka berkenal-kenalan dan menyesuaikan diri dengan kehidupan baru mereka.

“Kita juga telah menghantar mereka berjumpa doktor untuk memastikan kandungan mereka sihat dan selamat,” katanya.

Mingguan mStar turut berpeluang berbual secara eksklusif dengan salah seorang penghuni kumpulan pertama, berusia 17 tahun.

Kay (bukan nama sebenar) merupakan salah seorang daripada lima penghuni Sekolah Harapan yang mendapatkan perlindungan dengan kerelaan diri sendiri.

Kesal dengan keterlanjuran akibat terlalu mengikut nafsu, dia bagaimanapun reda dengan apa yang telah menimpa diri dan keluarganya.

“Saya tak akan mensia-siakan peluang ini. Apa yang mahu saya lakukan sekarang ialah menyambung semula pembelajaran dan mengambil peperiksaan di sini,” katanya.

Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, Kay berazam untuk belajar bersungguh-sungguh selain mahu mengubah diri menjadi insan yang lebih baik dan mampu berbakti kepada keluarga, masyarakat dan negara.

“Dalam keadaan saya sekarang ini, saya akan belajar selagi termampu dan buat yang terbaik. Saya betul-betul mahu berubah dan tak akan buat perbuatan yang sama lagi selepas ini,” jelasnya.

Mengimbas kembali bagaimana dirinya boleh ‘tercampak’ ke Rumah Harapan, Kay memberitahu dia dihamilkan tanpa kerelaan oleh jejaka yang tidak dikenali.

“Saya teraniaya. Kawan saya telah kenakan saya. Saya tak kenal dengan lelaki itu, tetapi setelah dipaksa saya pun terlanjur.

“Lepas dapat tahu saya mengandung, saya terus mencari jalan penyelesaian melalui Internet. Kebetulan juga pada masa itu abang saya tahu pusat perlindungan seperti ini akan dibuka.

“Bila dapat tahu ia bakal beroperasi dan menerima kemasukan, saya terus mendaftarkan diri dan syukur saya diterima masuk,” katanya.

Sementara menunggu saat-saat bayi dalam kandungannya yang kini berusia enam bulan dilahirkan, Kay mengakui gembira dan tenang dapat bersama-sama melakukan aktiviti bersama rakan-rakan lain.

“Kawan-kawan baik-baik belaka. Begitu juga guru-guru yang menjaga kami. Mereka mendidik dan tidak menggunakan kekerasan. Apa yang dapat saya kata, di sini saya langsung tak rasa tertekan.

“Aktiviti yang disusun pun memberi manfaat. Kami baca al-Quran, mengikuti tazkirah dan diwajibkan solat jemaah. Kami juga boleh belajar memasak,” katanya.

Kay berpendapat Sekolah Harapan sesuai untuk remaja yang pernah terlanjur atau melakukan kesilapan tetapi ingin kembali ke pangkal jalan.

Katanya, sebagai golongan yang masih muda dan perlu berdepan dengan pelbagai dugaan sehingga adakalanya menjadikan diri mereka terjebak ke kancah yang tidak sepatutnya.

“Apa yang penting, setiap orang yang buat pernah buat salah nekad untuk tidak mengulanginya lagi. Setelah apa yang berlaku, saya sedar bahawa saya banyak kelemahan dan saya sendiri ingin berubah,” katanya.

Dia menasihati remaja di luar sana supaya berhati-hati apabila berkawan supaya bagi mengelakkan daripada mereka menerima nasib yang sama seperti dirinya.

1 comment:

  1. Pelik..xkenal tapi terlanjur?2 namenye kene rogol..kenape xbuat report polis jer?

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: