Thursday, September 30, 2010

Ejen Kena Tipu Wan Nor Azlin!

PETALING JAYA: Seorang ejen hartanah yang mendakwa ditipu pelakon drama terkenal, Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain,42, sudah menerima pembayaran sebanyak RM16,000 yang telah dibuat oleh pelakon tersebut, Isnin lalu.

Eksekutif Kanan Harta, Asian Land Realty, Khaliah Abas, 42, (gambar) itu juga memberitahu pembayaran tersebut telah dibuat melalui cek yang disampaikan oleh peguam pelakon itu dari Tetuan Azaine & Fakhrul selepas satu perbincangan di luar mahkamah dilakukan.

"Saya sudah menerima cek pembayaran sebanyak RM16,000 Isnin lalu melalui Tetuan Azaine & Fakhrul. Pembayaran dibuat selepas mereka menganggap saya serius untuk mengambil tindakan terhadap Wan Norazlin.

"Saya sudah serahkan semua dokumen kepada peguam saya iaitu Tetuan Kc Lim & Co untuk difailkan ke mahkamah, namun kemungkinan peguam saya sudah berbincang dan mahu perkara ini diselesaikan secara baik di luar mahkamah," ujarnya ketika dihubungi mStar Online, semalam.

Wan Nor Azlin

Mangsa, Khaliah telah membuat pendedahan kepada mStar Online pada 2 September lalu selepas beberapa kali gagal menghubungi artis berkenaan dan peguamnya bagi menuntut komisen sebanyak 2 peratus dari hasil jualan rumah yang berjumlah RM16,000.

Menurutnya, artis wanita itu gagal menunaikan janji untuk memberikan komisen sebaik sahaja harta iaitu sebuah rumah miliknya dan suami itu berjaya dijual.

Bagaimanapun, Khaliah berkata pelakon tersebut masih tidak menghubunginya bagi menjelaskan perkara sebenar kelewatannya membuat pembayaran tersebut, malah mengeluarkan kenyataan kepada media sebelum ini bahawa dia tidak mengenalinya Khaliah.

"Selepas urusan jual beli itu saya banyak kali cuba hubungi dia tetapi tidak berjawab sehinggalah saya terpaksa mengambil tindakan berjumpa media.

"Semasa membuat pembayaran ini juga tiada sebarang pesanan daripada dia kecuali sepucuk surat daripada peguamnya sahaja. Saya lebih kesal apabila dia beritahu kepada pihak media bahawa saya cuba mengaibkannya," katanya.

Dalam pada itu, Khaliah memberitahu peristiwa tersebut benar-benar mengajarnya agar lebih berwaspada untuk berurusan dengan golongan selebriti.

"Sebelum ini saya cuba untuk bantu dia tapi ini balasanya terhadap saya. Bukan dia seorang sahaja selebriti yang mengunakan khidmat saya, ada beberapa orang lagi tetapi semuanya tiada masalah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: