Thursday, September 30, 2010

Bienda Rahsia Tarikh Nikah Walau Kad Jemputan Sudah Diedar

PETALING JAYA: Penyanyi Bienda masih mahu merahsiakan tarikh pernikahannya walaupun telah mengedarkan kad jemputan kahwin sejak beberapa hari lalu.

Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 25, berkata dia hanya akan menjelaskan tarikh pernikahannya pada majlis persandingannya nanti yang akan diadakan pada 8 Oktober akan datang.

"Ramai yang tanya tentang pernikahan saya, insya-Allah saya akan beritahu segalanya pada hari perkahwinan saya nanti dan memperkenalkan suami saya, Kamarul Zariman kepada semua.

"Buat masa sekarang saya sedang sibuk dengan persiapan terakhir majlis seperti memilih baju dan mengedarkan kad jemputan perkahwinan," katanya ketika di hubungi mStar Online, Selasa.

Bercerita tentang perasaan menghitung hari untuk menjadi raja sehari, Bienda mengakui debarannya semakin dirasai.

"Perasaan ketika ini bercampur baur dan berdebar. Saya tidak sabar untuk melaluinya. Persiapan untuk majlis ini saya sudah lakukan setahun lebih awal, jadi sekarang tidaklah terlalu terkejar-kejar.

"Tapi memang penat untuk siapkan semuanya. Nasib baik ramai yang membantu saya," katanya.

Menurut Bienda, majlis perkahwinan yang berkonsepkan ala Arab itu telah mendapat kerjasama sebanyak 14 penaja iaitu dari segi solekan, pelamin, katering, pakaian dan sebagainya.

"Saya memilih konsep Arab kerana mahukan kelainan. Selain itu imej dan genre lagu yang sering saya bawa bercorak “world” muzik.

"Kami sekeluarga yang bincang dan inginkan konsep ini. Lagi pula keluarga saya memang ada darah Pakistan jadi saya rasa ia adalah konsep paling sesuai," ujarnya yang akan mengayakan dua pasang busana pengantin rekaan D&D Beuty House.

Dalam majlis resepsi yang bakal diadakan di salah sebuah dewan di Selayang, Selangor itu, Bienda turut mengundang lebih 1,000 tetamu termasuk rakan-rakan terdekat dan pihak media.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: