Tuesday, September 28, 2010

Aznil Nawawi Mahu ke Dewan Negara

Liku-liku perjalanan sebagai anak seni dilalui pengacara terkemuka ini dengan semangat yang kental, masakan tidak, 20 tahun terlibat dalam dunia glamor ini namun namanya masih gah dan menjadi rebutan.

Nyata penuntut ijazah Sarjana Ekonomi dari Universiti Malaya ini membuat keputusan yang tepat memilih bidang pengacaraan kerana sehingga kini rezekinya tidak pernah putus.

"Tuhan amat adil kepada saya kerana memberikan peluang yang sangat banyak dalam bidang yang diceburi. Saya sudah mencuba rancangan berbentuk politik, ekonomi, hiburan dan yang terbaru akademik. Namun jika diberi peluang ingin sekali saya menumpukan kepada program berbentuk keagamaan. Saya anggap itu satu jihad sekiranya berjaya menarik perhatian penonton untuk mengikuti rancangan tersebut.

"Dan Astro sangat memberi peluang kepada saya untuk mengembangkan lagi bakat keratif yang ada dan terbaru mereka akan menghantar saya ke Paris untuk diluaskan lagi pengetahuan mengenai program di seluruh dunia.

"Hasil daripada pembelajaran dan pengalaman yang ada jika boleh saya ingin mewakili golongan anak seni untuk ke Dewan Negara. Saya tak kisah jika ada yang tertawa mendengar cita-cita ini, namun itulah yang ingin dilakukan selepas bersara kelak. Saya ingin bersama-sama merangka dan menjana perjalanan negara," katanya yang mengagumi Tan Sri Jins Samsudin.



Seronok Belajar Sains

Subjek ini bukanlah kegemarannya sewaktu zaman persekolahan. Namun kesempatan yang diberi Astro melalui program sains bercorak permainan, Clever! dimanfaatkan sepenuhnya.

"Pada usia 48 tahun, tanggapan saya terhadap sains dibetulkan dan memang benar ianya amat menyeronokkan. Dan menjadi tanggungjawab saya kini untuk sampaikan kepada ibu bapa agar menggalakkan anak-anak meminati bidang ini. Kalaulah saya tahu sains begitu menarik, pasti saya sudah menjadi angkasawan pertama Malaysia.

"Apa yang saya lihat sekarang, masyarakat lebih gemarkan bidang kreatif seperti hiburan dan anak-anak kita sejak kecil sudah bercita-cita ingin menjadi artis. Dan diharapkan rancangan ini dapat memupuk minat mereka untuk lebih mencintai bidang yang telah banyak membantu aspek kehidupan kita hari ini," katanya.

Aznil akan digandingkan dengan saintis Rafidah yang akan memberikan jawapan yang betul berdasarkan eksperimen yang dilakukan secara langsung. Program ini turut menampilkan selebriti seperti Dafi, Yasmin Hani, Imuda dan ramai lagi. Saksikannya setiap Ahad, jam 11.00 pagi bermula 26 September sehingga 19 Disember 2010 di Astro TVIQ (saluran 552).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: