Thursday, September 30, 2010

Avon warnai hidup Normita


Normita Mat Jilis (kiri) berbincang dengan kakitangan Avon tentang produk yang dipesan oleh pelanggannya.


KETIKA di sekolah menengah, Normita Mat Jilis sudah didedahkan dengan penjualan barangan Avon oleh ibunya. Sedia maklum dengan keseronokan menjadi peniaga jualan langsung yang diteladani daripada ibu sendiri, dia telah mengambil keputusan untuk menjadi ahli Avon sejurus tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Tahun 1995 menjadi titik tolak permulaan saya dalam bidang yang menguntungkan ini," imbas wanita berusia 33 tahun itu tentang pembabitan awalnya dalam Avon.

Pengalaman tersebut dikongsi dalam satu pertemuan khas Mega dengan Normita bertempat di pusat stokis Avon Balakong, Selangor.

Normita yang ketika itu hadir ditemani tiga dari lima anaknya, teruja berkongsi pengalaman dan menghurai kejayaannya dalam bidang jualan langsung Avon.

Seperti kebanyakan orang, penglibatan Normita dalam jualan langsung bermotifkan untuk pendapatan sampingan.

Resam anak muda mencari rezeki di kota, Normita turut mengambil keputusan meninggalkan kampung halamannya di Bahau, Negeri Sembilan dan berhijrah ke Selangor.

"Selepas mendapat keputusan SPM saya mendapat pekerjaan di sebuah kilang di Balakong. Saya mula menjual barangan Avon kepada rakan-rakan wanita di kilang. Tak sangka respons yang diterima amat baik. Ramai rakan dan juga pelanggan saya mengulang beli dan mencari saya.

"Dari situ saya mula sedar yang saya tidak perlu lagi menunggu tarikh gaji untuk membayar segala keperluan. Duit dalam akaun sentiasa ada hasil komisen jualan langsung yang saya mula di kilang," jelas penerima anugerah Top One Group Sales District bagi kawasan Balakong, Semenyih, Mines, Kajang dan Bangi itu.

Selepas bekerja di kilang, Normita ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu tadbir di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana, Selangor. Di sini pelanggannya bertambah di kalangan para guru.

"Pelanggan saya kebanyakannya suka dengan barangan Avon kerana ia dihasilkan untuk wanita Asia. Saya paling banyak menerima tempahan pakaian dalam wanita dan wangian yang terbukti berkualiti dan harganya juga berpatutan," katanya yang kini telah mencapai tahap pengurus unit di peringkat Golden Circle Avon.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: