Wednesday, September 29, 2010

Anak Kim Jong-il dilantik jadi jeneral


SEJUMLAH orang menari bagi meraikan pemilihan semula Kim Jong-il sebagai Setiausaha Agung Parti Pekerja di Pyongyang, Korea Utara semalam.


SEOUL - Tindakan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il melantik anak bongsunya selaku jeneral bertaraf empat bintang dilihat sebagai satu pengesahan bahawa beliau bakal menjadi pemimpin negara komunis itu.

Pengumuman itu disiarkan oleh media Korea Utara beberapa jam sebelum mesyuarat Parti Pekerja diadakan yang dipercayai mengumumkan pelantikan Kim Jong-un dan ahli-ahli keluarganya yang lain memegang jawatan tertinggi dalam parti.

Rancangan Jong-il adalah untuk memastikan dinasti komunis itu memasuki generasi ketiga.

Jong-il telah dipilih semula untuk memegang jawatan tertinggi parti iaitu selaku setiausaha agung.

Mesyuarat tersebut merupakan perhimpunan politik terbesar dalam tempoh 30 tahun.

Anak Jong-il itu dipercayai berusia 27 tahun atau 28 tahun dan dikatakan bersekolah di Switzerland, selain mendapat pendidikan di Universiti Ketenteraan Kim Il-sung di Pyongyang.

Ekoran Jong-un tidak mempunyai pengalaman, Jong-il mungkin meminta adik perempuannya, Kim Kyong-hui, 64, untuk memantau proses peralihan kuasa tersebut.

"Ia jelas menunjukkan bahawa Kim Jong-il komited untuk mengekalkan kuasa mentadbir negara dalam keluarganya," kata seorang felo penyelidikan dari Lembaga Hubungan Antarbangsa-Hitachi, Peter Beck.

Pakar mengenai hal ehwal Korea Utara dari Universiti Dongguk di Seoul, Kim Yong-hyun menegaskan pelantikan Kim Jong-un adalah langkah awal baginya untuk berkuasa. Jong-un dijangka turut memegang jawatan penting dalam tentera yang mengetuai pasukan tentera seramai 1.2 juta anggota, kata seorang penganalisis Institut Sejong, Cheong Seong-chang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: