Thursday, September 30, 2010

1 minit larikan RM50,000

SERDANG – Hanya dalam tempoh satu minit dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melarikan wang tunai RM50,000 dari sebuah bank di Taman Sungai Besi Indah, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.37 pagi itu, seorang pengawal keselamatan turut cedera di tengkuk selepas ditembak salah seorang suspek dari arah belakang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, kedua-dua suspek mengambil peluang melakukan jenayah ketika bank berkenaan dalam keadaan sibuk.

Katanya, suspek yang memakai topi besbol meluru masuk ke dalam bank sebelum melepaskan tembakan kepada salah seorang pengawal keselamatan yang ketika itu sedang membantu pelanggan mengeluarkan wang di mesin pengeluaran otomatik (ATM).

“Tembakan yang dilepaskan itu terkena tengkuk pengawal keselamatan sebelum seorang lagi rakan suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh masuk ke dalam dan merampas senapang di tangan pengawal yang cedera.

“Suspek yang melepaskan tembakan kemudian meluru masuk ke kaunter dan mengisi wang tunai ke dalam beg yang disandangnya,” katanya yang turut memaklumkan, ketika kejadian tiga kakitangan bertugas dan seorang pelanggan berada dalam bank.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah motosikal dan mencampakkan senapang milik pengawal di depan sebuah rumah kira-kira 200 meter dari jarak bank.

“Pengawal yang cedera dihantar ke Hospital Serdang dan sehingga kini masih mendapatkan rawatan.

“Polis akan menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu mengenalpasti kedua-duanya,” katanya yang menggesa saksi kejadian menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Sementara itu, pengawal keselamatan yang bertugas di kaunter, D Mickale, 49 berkata, dia yang terkejut mendengar bunyi letupan kemudian bergegas ke bahagian mesin ATM sebelum mendapati rakan setugas berusia 49 tahun itu terlentang dan pengsan.

“Saya mendengar bunyi tembakan sekali sebelum kedua-dua lelaki itu masuk dan membawa lari wang tunai. Kedua-dua mereka kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: