Tuesday, August 31, 2010

A. Razak arah filem raya 2011


ROSNAH Mat Aris (depan) yang melakonkan watak wanita bersuara sengau banyak menggeletek hati para penonton.


RAMAI penerbit dan pengarah yang berlumba-lumba memilih tarikh pada cuti musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun bagi menayangkan filem masing-masing di pawagam seluruh negara.

Ini kerana, pada waktu itu ramai yang sedang bercuti dan mempunyai waktu terluang sambil mencari hiburan dengan menonton filem-filem Melayu terbaru yang sedang ditayangkan di pawagam-pawagam.

Bagaimanapun, sejak sekian lama belum ada satu filem Melayu berkonsepkan Hari Raya yang diterbitkan oleh para penerbit serta ditayangkan di pawagam setiap kali tibanya musim cuti Hari Lebaran di negara ini.

Menyahut cabaran itu, pengarah prolifik, Prof. Madya A. Razak Mohaideen membayangkan dia akan mengarahkan sebuah filem bertemakan Hari Raya pada tahun depan yang kini sedang dalam proses pembikinannya.

“Saya bercadang untuk mengarahkan sebuah filem berjudul Raya Tak Jadi pada 2011,” katanya.

Beliau membayangkan perancangannya itu pada majlis pratonton filem komedi ke-14 arahannya yang berjudul 4 Madu terbitan Line Clear Motion Pictures di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya filem berkonsepkan Hari Raya yang ditayangkan semasa musim perayaan bukan sahaja lebih sesuai dan dekat dengan penghayatan para penonton tetapi ia juga boleh mempelbagaikan lagi genre filem tempatan.

“Selain konsep atau tema yang sesuai dengan keadaan semasa, filem genre komedi juga antara yang paling mendapat sambutan para penonton setiap kali ia ditayangkan sama ada di pawagam atau televisyen.

“Sebagai contohnya, pada tahun lalu daripada kajian 100 rancangan Hari Raya yang ditayangkan di televisyen, filem arahan saya, Sifu dan Tongga paling mendapat sambutan sewaktu tayangannya di televisyen,” katanya.

4 Madu yang merupakan filem komedi ke-14 arahan A. Razak daripada lebih 30 filem arahannya itu diharap dapat menarik segenap lapisan masyarakat termasuklah golongan dewasa supaya menontonnya di pawagam.

Bukan setakat komedi ringan, tetapi filem lakonan Saiful Apek dan lapan lagi pelakon wanita popular tanah air itu turut mengungkap poligami yang digarap dalam keadaan santai tetapi penuh dengan mesej tersirat.

“Dalam filem ini saya cuba memaparkan pelbagai isu di sebalik lapan wanita yang hidup bermadu. Setiap mereka mempunyai permasalahannya yang juga berbeza. Dalam isu ini ramai yang salahkan lelaki apabila bercerai.

“Pada masa sama, saya cuba mengungkap bahawa perkahwinan mereka semuanya bersebab. Misalnya, ada wanita yang sanggup bermadu kerana menjadi anak dara tua atau kerana mengejar harta,” ujarnya.

Difahamkan filem komedi satira hasil kerjasama Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) dan Berjaya Film Production yang akan mula ditayangkan 1 Syawal ini di seluruh negara banyak melakukan kajian sebelum ia diarahkan oleh A. Razak.

Menurut Pengurus Besar GBSB, Ahmad Puad Onah, A. Razak telah menggunakan kumpulan fokus yang terdiri daripada para pelajar perfileman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi tujuan tersebut.

Saiful Apek yang digandingkan dengan Fasha Sandha, Sazzy Falak, Rozita Che Wan dan Rosnah Mat Aris tidak menafikan berdepan dengan pelbagai cabaran apabila berlakon dengan lapan pelakon wanita dalam filem dengan kos produksi dan promosi berjumlah RM1.5 juta itu.

“Dalam 4 Madu saya melakonkan watak Azlan dan Azrul adik beradik yang seiras. Tetapi bergandingan dengan lapan wanita yang berbeza karekter menambahkan lagi cabaran dan kelainan dua watak yang saya lakonkan itu,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: