Monday, August 30, 2010

Peluang jadi usahawan bersama Giffarine


Wan Ab. Rahman Wan Ya'acob menunjukkan produk keluaran syarikatnya di Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 29 Ogos - Kewujudan syarikat jualan langsung Giffarine Skyline Unity (M) Sdn. Bhd. telah membuka peluang kepada rakyat tempatan terutama bumiputera untuk menceburi bidang keusahawanan.

Syarikat yang berpusat di Bangkok, Thailand itu kini mempunyai ahli seramai 20,000 orang dengan tujuh cawangan selepas hanya setahun beroperasi di negara ini.

Menurut Presidennya, Wan Ab. Rahman Wan Ya'acob, daripada jumlah itu seramai 1,000 orang telah berjaya menjadi usahawan dalam perniagaan jualan langsung dengan pendapatan antara RM1,000 hingga RM15,000 sebulan.

Beliau berkata, Giffarine sememangnya menggalakkan rakyat tempatan terutama golongan wanita dan ibu tunggal menceburi bidang keusahawanan jualan langsung bagi meningkatkan ekonomi mereka.

"Syarikat juga menyediakan latihan kepada mereka yang berminat untuk menjadi usahawan dengan Giffarine.

"Mereka yang ingin menceburi bidang keusahawanan jualan langsung ini sebenarnya tidak perlu berhenti kerja, sebaliknya menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan keluarga," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Giffarine, Wan Muhd. Faiz Wan Ab. Rahman.

Wan Ab. Rahman berkata, bagi menggalakkan ahli-ahlinya terlibat secara lebih serius dalam bidang keusahawanan jualan langsung, syarikat turut menyediakan insentif seperti anugerah keusahawanan dan lawatan ke luar negara.

"Pemberian insentif itu berdasarkan pencapaian jualan tertinggi dan rangkaian perniagaan yang bertambah atau berkembang," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan bumiputera terutama wanita yang berminat untuk menjadi usahawan terutama dalam perniagaan jualan langsung, menjadi sebahagian daripada 'keluarga' Giffarine.

"Perniagaan ini sebenarnya menjanjikan peluang dan masa depan yang cerah kerana dengan hanya membayar yuran keahlian seumur hidup sebanyak RM35, mereka berpeluang menjana pendapatan berdasarkan pencapaian masing-masing," katanya.

Menurut Wan Ab. Rahman, Giffarine ketika ini menawarkan 450 produk kecantikan dan kesihatan berasaskan herba untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak pada harga yang berpatutan.

Beliau berkata, lebih penting lagi, produk keluaran syarikat itu mendapat sijil halal daripada Majlis Agama Islam Thailand yang turut diperakui di negara ini.

Jelasnya, antara produk Giffarine yang mendapat sambutan di kalangan pengguna ialah jus delima (Granada) yang mempunyai pelbagai khasiat termasuk membersihkan hati dan saluran perkumuhan serta mencantikkan kulit.

Mengenai saingan daripada produk keluaran syarikat lain, beliau berkata, pihaknya yakin dengan jaminan kualiti dan halal, jenama Giffarine akan terus mendapat tempat di hati pengguna.

"Persaingan tidak ada masalah kerana kekuatan Giffarine ialah pada produknya yang berkualiti baik dan dijual pada harga yang mesra pengguna," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: