Tuesday, August 31, 2010

Pelajar asing sayu sambut Ramadan


(Dari kiri) Ali Nasser, Ahmed Sabree, Aishe Nur Ozturki dan Bahiroh Amath menikmati juadah berbuka secara ringkas bersama-sama di UIAM, Gombak, Selangor baru-baru ini.


KEDATANGAN Ramadan dan Syawal adakalanya mengundang sayu, khususnya kepada perantau yang bukan sahaja berjauhan dari tanah air malah ibu bapa dan keluarga tercinta.

Perasaan sama turut dikongsi oleh sekumpulan pelajar asing beragama Islam yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

Hampir 5,000 pelajar antarabangsa dari pelbagai negara menjalani ibadah puasa di kampus UIAM pada Ramadan tahun ini.

Bagi, Aishe Nur Ozturki, 20, yang berasal dari Turki, pengalaman berpuasa jauh dari keluarga adalah sesuatu yang memeritkan.

Akui Aishe Nur, jika di kampung halamannya semua kelengkapan berbuka puasa disediakan oleh ibu, namun persekitaran itu amat berbeza ketika di sini kerana hanya ditemani rakan-rakan sekuliah sahaja.

Biasanya dia hanya membeli juadah untuk berbuka puasa kerana kesuntukan masa menghadiri kuliah.

Namun jika sesekali rindukan masakan ibu dia akan masak sendiri terutama bagi makanan-makanan tradisi negaranya.

‘‘Masakan yang paling saya suka ialah masakan Arab seperti kebab, salad dan juga hummus (kuah dal),’’ terangnya sambil tersenyum.

Menurut Aishe lagi, suasana menyambut Ramadan di Malaysia tidak banyak beza berbanding di Turki.

Dia yang kali kedua menjalani ibadah puasa di sini berkata, sambutan Ramadan di Malaysia sama meriahnya dan masjid menjadi tempat yang paling menjadi tumpuan.

Pelajar program Sains Politik itu menjelaskan, biasanya para pelajar Turki dan beberapa pelajar antarabangsa yang lain akan berkumpul bersama-sama dan ke masjid untuk bertarawih.

Mengenai perancangan sambutan Aidilfitri tahun ini, Aishe memberitahu, dia akan berkumpul bersama rakan-rakan ‘sekampung’ untuk memasak masakan tradisional.

‘‘Tidak sabar untuk menyambut Aidilfitri tahun ini kerana saya bercadang untuk masak masakan kegemaran saya seperti seperti poghacha (campuran roti, keju, kentang dan sayur), scarma (nasi yang digulung seperti popia di atas daun anggur) serta baklara (pie kentang),’’ ujarnya.

Bagi Ahmad Sabree Abdul Mateen, 23, pula, menyambut Ramadan tanpa keluarga bukan asing kerana sering berjauhan dengan keluarga sejak di bangku sekolah lagi.

Kata Sabree, dia akan berbuka bersama rakan-rakan lain dan juadah pilihan adalah shawarma (roti Arab) yang menjadi menu wajib setiap petang.

‘‘Selepas berbuka dan solat Maghrib, kami akan berjalan beramai-ramai ke masjid universiti untuk bertarawih.

‘‘Walaupun terasa sedih tetapi ini merupakan pengalaman yang akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup,” kata pelajar dari Atlanta, Amerika Syarikat (AS) itu.

Jelasnya, ini adalah Ramadan kali keempat yang dilalui selepas menuntut di universiti itu dalam bidang Usul Fiqh.

Ditanya mengenai persiapan Aidilfitri, Sabree menjelaskan dia sudah membeli sepasang baju Melayu untuk dipakai pada Syawal nanti.

Katanya lagi, berpuasa di Malaysia adalah sesuatu kenangan yang sukar dilupakan memandangkan pelbagai juadah dijual sepanjang bulan Ramadan.

‘‘Keadaan ini berbeza di negaranya kerana semua umat Islam akan berbuka puasa di masjid dengan membawa masakan yang di masak sendiri dari rumah,’’ terang anak kepada pasangan Abdul Mateen dan Ameerah ini.

Malah sambutan Hari Raya juga tidak semeriah di sini.

‘‘Biasanya selepas sembahyang sunat Aidilfitri kami menyambung kembali kerja dan seolah-olah ia bukan hari kebanggaan seperti yang berlaku di sini,’’ ujarnya serius.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: