Tuesday, August 31, 2010

Erti Merdeka Intan, Jac & Megan

Dari Kiri Intan Ladyana, Megan Tan dan Jaclyn Victor.

HARI ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke- 53. Tarikh keramat 31 Ogos merupakan detik bersejarah yang tidak harus dilupa oleh generasi pada hari ini terutama sekali dalam mengingati bagaimana susahnya nenak moyang kita mempertahankan negara daripada dijajah.

Ahad lepas Mingguan mStar mendekati tiga anak seni yang berlainan bangsa untuk menyelami erti kemerdekaan sebenar dalam hidup mereka.

Bersaksikan Istana Budaya yang melambangkan kebanggaan dan kemasyhuran pementasan khazanah seni negara kita, pelakon muda Intan Ladyana, penyanyi Jaclyn Victor dan pengacara Megan Tan disatukan untuk berkongsi cerita.

Belajar cintai negara - Intan Ladyana

Pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamat Yahaya ini mengakui masih belajar mengenali negara Malaysia dan menghargai perjuangan tokoh-tokoh negara yang telah lama pergi. Namun wanita ini mengakui dia agak sedih kerana kemajuan negara hari ini menyebabkan segelintir anak-anak muda sudah hilang penghayatan kemerdekaan dalam diri mereka.

“Sebagai anak Malaysia tidak mengira bangsa kita seharusnya mengenali dan mengetahui sejarah negara kita. Sejujurnya saya sendiri masih dalam proses mempelajari dan menghargainya.

“Negara kita sudah bebas dari jajahan orang luar, tetapi tidak diri kita. Apa yang penting kita perlu bebaskan diri kita dari dijajah dari segi minda dan tidak terlalu terikut-ikut dengan budaya luar.

Jelas pelakon Jelatang ini, sebagai artis dia juga mempunyai hasrat untuk memberi sumbangan besar kepada negara terutamanya dalam industri hiburan.

“Setiap orang ada impian sendiri untuk menyumbang kepada negara begitu juga saya. Biarpun tidak terlalu besar tapi jika dapat membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa adalah sesuatu yang sangat berharga,” katanya.

Kaum India “warna-warni” - Jaclyn Victor

Apabila penyanyi dan pelakon popular Jaclyn Victor diajak berbual mengenai kemerdekaan, panjang lebar wanita yang berusia 32 tahun ini berceloteh.

Jujurnya Jac melahirkan rasa syukur kerana dilahirkan di bumi bertuah ini. Menurut Jac, selepas 53 tahun negara merdeka, keharmonian yang kita kecapi hari ini bergerak seiring dengan kemajuan negara.

Jika dibandingkan dengan negara lain, rakyat Malaysia boleh hidup dan bekerja sama dalam suasana yang harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain meskipun berlainan kaum dan kepercayaan.

“Kita sebenarnya cukup bertuah kerana Malaysia telah banyak berubah dan berkembang pesat dalam pelbagai aspek. Tahun demi tahun, kita mencapai satu persatu pencapaian dan kemajuan namun kita masih kekal hidup bersatu-padu.

“Perubahan dan perkembangan ini bukan sahaja boleh dilihat pada aspek fizikal seperti pembangunan dan ekonomi, malah turut meliputi aspek mentaliti, daya saing serta lebih berani seperti masyarakat luar,” ujarnya yang berbangga menjadi anak Malaysia.

Mengulas tentang dirinya yang dilahirkan sebagai wanita berbangsa India, Jac mengakui keunikan kaum India yang kaya dengan budaya yang berwarna-warni itu terus berkembang dan turut dikongsi sesama masyarakat di Malaysia.

“Saya berbangga menjadi orang India yang dilahirkan dan membesar di Malaysia. Bayangkan, betapa unik dan warna-warni budaya kaum India ini turut dinikmati dan dikongsi sesama kaum lain. Begitulah istimewa dan indahnya hidup sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Kebebasan dan kemanan Megan Tan

Sebut sahaja tentang kemerdekaan pengacara program Quickie di 8TV iaitu Megan Tan, 22, terus melahirkan rasa gembiranya kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Baginya, kemerdekaan cukup sinonim dengan keamanan dan kebebasan.

“Kesejahteraan yang kita nikmati pada hari ini membuatkan saya rasa cukup bertuah dilahirkan sebagai anak Malaysia.

“Selain itu, apa yang paling menarik apabila bercakap tentang merdeka, pasti saya akan teringat kibaran Jalur Gemilang yang berwarna-warni dan pelbagai saiz. Saya cukup teruja setiap kali melihat Jalur Gemilang kita berkibar di merata tempat,” katanya penuh ceria.

Bercerita tentang perasaannya sebagai anak Malaysia, Megan berkata kepalbagaian budaya yang dinikmati secara harmoni itu membolehkan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan budaya bekerjasama dan bersatu hati untuk mencapai sesuatu matlamat demi kemajuan negara.

Walaupun kedengaran agak klise, anak kelahiran Pulau Mutiara ini tidak mampu menyangkal satu fakta bahawa keunikan negara ini adalah kerana gabungan kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang tiada di tempat lain.

“Mungkin jika kita bercakap tentang kepelbagaian bangsa, agama dan budaya, bukan saja Malaysia malah di negara lain pun rakyatnya berbilang bangsa dan agama. “Namun, keunikan Malaysia berbanding negara lain adalah kerana perbezaan bangsa mampu menyatupadukan kita walaupun selepas 53 tahun merdeka,” katanya.

Ditanya mengenai sumbangannya sebagai seorang selebriti terhadap tanah air ini, Megan berkata, lapangan kerja yang dilakukannya pada hari ini mungkin tidak melibatkan senjata dan keringat seperti perajurit untuk memelihara keselamatan negara atau memerangi musuh.

Namun, sebagai pengacara program, Megan optimis bahawa dia juga menyumbangkan sesuatu kepada negara ini.

Paling jelas, apabila dia bersiaran, semestinya Megan bertanggungjwab untuk menyampaikan maklumat dan mesej yang berguna kepada masyarakat, khususnya kumpulan penonton sasaran program Quickie iaitu belia dan remaja.

“Mungkin sumbangan saya tidak sebesar anggota beruniform tapi sebagai pengamal media, saya percaya mesej dan info yang positif yang disampaikan kepada penonton juga mampu menjadikan masyarakat kita lebih baik dari semalam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: