Thursday, July 29, 2010

Sehari Bersama Utusan Malaysia di SMK Cheras Perdana


HAMIDAH Abdul Rahman (belakang, dua dari kiri) dan guru kelas Peralihan Gigih, Lim Fang Keong (belakang, kanan) membaca akhbar Utusan Malaysia bersama pelajar sempena program Sehari Bersama Utusan Malaysia di SMK Cheras Perdana, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Julai - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana, di sini menjadikan akhbar Utusan Malaysia sebagai sumber rujukan utama melalui program Sehari Bersama Utusan Malaysia bersempena minggu membaca peringkat sekolah itu.

Pengetua sekolah tersebut, Hamidah Abdul Rahman berkata, program kali keenam anjuran Panitia Bahasa Melayu itu merupakan kesinambungan kepada tradisi sekolah berkenaan dalam usaha mengangkat budaya membaca di kalangan pelajar.

''Selain mencipta suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan, program sehari ini dapat menanam minat membaca di kalangan pelajar.

''Melalui pembacaan akhbar Utusan Malaysia juga dapat membantu pelajar berketurunan Cina dan India menguasai bahasa Malaysia serta meningkatkan pencapaian akademik pelajar,'' katanya.

Menurut Hamidah, pihak sekolah juga telah menempah sebanyak 1,480 naskhah akhbar Utusan Malaysia untuk digunakan oleh pelajarnya sempena program tersebut.

Katanya, di samping dijadikan bahan bacaan, pihak sekolah juga menjadikan Utusan Malaysia sebagai bahan rujukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Selain itu, katanya, program tersebut secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kemahiran pelajar termasuk penguasaan dalam penulisan, kefahaman dan rumusan.

"Program seumpama ini telah membantu pihak sekolah meningkatkan peratusan kelulusan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu dan kami mengharapkan perkara yang sama pada tahun ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah tersebut hari ini.

Turut hadir Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd. Tajuddin Solid dan Zairina Lubis Nordin.

Sementara itu, Mohd. Tajudin berkata, program itu digerakkan bagi menyedarkan pelajar mengenai kepentingan membaca.

"Objektif utama Kumpulan Utusan terlibat dalam penganjuran program ini untuk menanam tabiat suka membaca di kalangan pelajar sekolah dalam usaha melahirkan masyarakat berilmu," ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pelajar tingkatan lima sekolah itu, Phang Kwan Yee, 17, mengakui program berkenaan banyak membantunya dalam pelajaran khususnya bagi menguasai subjek Bahasa Melayu.

"Saya sering membaca akhbar ini kerana ia menyediakan banyak contoh soalan peperiksaan selain maklumat yang padat," katanya.

Kelvin Jit Singh, 15, yang merupakan pelajar tingkatan empat sekolah itu pula berkata, membaca Utusan Malaysia membantunya menguasai Bahasa Malaysia.

Sementara itu, rakannya, Ezreen Elia Izzaty Afindi, 17, berkata selain dapat mengetahui perkembangan isu semasa dengan tepat dan lengkap, Utusan Malaysia juga menjadi bahan rujukan bagi menguasai aspek bahasa dengan betul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: