Friday, July 30, 2010

Pelajar diculik depan sekolah


NOOR ZAINY memeriksa kereta Perodua Kenari yang dirampas daripada dua lelaki selepas mereka terbabas ketika menculik seorang pelajar di Besut semalam.


BESUT - Niat jahat dua lelaki yang menculik seorang pelajar dipercayai untuk dirogol bukan sahaja tidak termakbul malah, kedua-dua mereka dapat diberkas ketika sedang bersembunyi dalam keadaan parah di dalam sebuah rumah di Kampung Alur Jejawi, Kuala Besut di sini kelmarin.

Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku apabila suspek berusia 15 dan 23 tahun yang menaiki sebuah kereta Perodua Kenari melarikan Nurmuni Ainun Izzati Mohd. Roslan, 15, ketika dia sedang menunggu ibunya di luar kawasan sekolah untuk menjemputnya pulang selepas tamat kelas tambahan.

Sebelum kejadian, abang mangsa telah datang ke sekolah berkenaan tetapi pulang semula ke rumah selepas mendapati adiknya masih belum keluar.

Nurmuni Ainun Izzati merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini.

Sebaik sampai di sekolah berkenaan, salah seorang suspek tersebut terus menarik mangsa ke dalam kereta hingga menyebabkan pelajar berusia 15 tahun berkenaan cedera manakala beg sandangnya putus dan tertinggal di situ.

Kejadian itu turut disaksikan oleh beberapa pelajar lain tetapi mereka tidak sempat membantu kerana mendakwa kejadian berlaku begitu pantas.

Difahamkan, suspek berusia 23 tahun tersebut dipercayai dalam keadaan gersang kerana isterinya dikatakan masih berpantang kerana baru lepas bersalin.

Mangsa kemudian diletakkan di tempat duduk penumpang hadapan dengan salah seorang suspek memeluknya dari belakang.

Nurmuni Ainun Izzati kemudian bertindak melawan dengan meronta-ronta dan menendang papan pemuka kereta menyebabkannya rosak manakala pemandunya pula gagal mengawal kenderaan tersebut.

Ekoran tindakan drastik mangsa, kereta tersebut kemudian terbabas hingga memasuki sebuah parit di Kampung Limbongan dekat sini iaitu kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Supritendan Noor Zainy Md. Noor berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa pengsan serta mengalami cedera parah di kepala dan leher.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Polis yang melancarkan operasi tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian dan mendapati kedua-dua suspek sudah melarikan diri dan pelajar berkenaan pengsan dalam kereta.

"Hasil maklumat orang ramai, polis kemudian telah menyerbu sebuah rumah dan mendapati kedua-dua suspek yang cedera parah itu sedang bersembunyi di dalamnya," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: