Wednesday, June 30, 2010

Revolusi teh premium


BARNES menunjukkan salah satu teh TWG yang diangkat menjadi sejenis komoditi mewah hari ini.


TEH, dikatakan, paling banyak diminum selepas air kosong. Teh kekal popular sehingga hari ini dan telah bertukar daripada minuman kegemaran semasa sarapan atau minum petang, kepada minuman kesihatan dengan nilai perubatan yang tinggi.

Amalan menikmati teh merupakan sebahagian daripada tradisi dalam budaya tertentu dan ada yang menjadikannya sebagai seni.

Bersandarkan kepada sejarah kaya teh dan popularitinya yang tidak pernah luntur, sekumpulan profesional asing dan usahawan membentuk sebuah syarikat teh konsep mewah di Singapura berjenama TWG (The Wellness Group) Tea, pada tahun 2007.

Idea untuk membentuk syarikat teh itu timbul apabila Manoj M Murjani dari Hong Kong, yang kini merupakan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TWG secara kebetulan menemui seorang ahli perniagaan Maghribi, Taha Bouqdib yang kini merupakan Presiden TWG.

Kedua-dua mereka dengan segera menyedari yang mereka boleh bekerjasama dalam satu usaha sama untuk merevolusi perniagaan teh dengan mengubah komoditi itu menjadi satu jenama mewah ikonik.

Butik teh

Mereka kemudian mendapatkan tiga lagi rakan iaitu pakar wangian mewah yang dilahirkan di Chicago, Maranda Barnes, seorang pakar pengurusan restoran, Rith Aum-Stievenard dan seorang chef pastri Perancis, Philippe Langlois.

Pada Ogos 2008, syarikat itu membuka kedai dan butik teh gaya Eropah yang pertama di Republic Plaza, Raffles Place, Singapura yang menawarkan lebih 250 jenis teh asli dan teh adunan tangan.


TWG berjaya mengadunkan pelbagai cita rasa teh yang dibungkus dalam bekas menarik.


Tahun lepas, syarikat itu membuka butik teh kedua, yang lebih mewah, di gedung membeli-belah mewah terbaru ION Orchard di Orchard Road yang menawarkan lebih 400 jenis teh TWG.

Kedai-kedai teh itu juga menawarkan pastri teh yang dibuat eksklusif oleh chef utama dan eksekutif TWG, Philippe Langlois.

Sejak itu, perniagaan TWG terus berkembang dan produk-produknya menempah nama sebagai satu jenama antarabangsa yang disegani dalam dunia teh.

Sehingga hari ini, koleksi teh TWG terdiri daripada 1,000 jenis teh asli serta adunan teh eksklusif dari setiap negara pengeluar teh dunia.

Antara adunan teh di bawah jenama TWG termasuklah Tibetan Secrets, The Napoleon, The Rwanda Express, Weekend in Moscow, Weekend in Shanghai, Polo Club, Smoky Russian, French Earl Grey dan Earl Grey Amour yang dibungkus dalam bekas unik.

Syarikat itu turut menawarkan barangan kaca dan logam buatan tangan seperti porselin, tanah liat, teko dan pencedok teh.

Kedua terlaris di Harrods

Teh TWG kini dihargai oleh peminat-peminat teh dan mempunyai permintaan tinggi daripada pengusaha makanan tempatan dan antarabangsa.

TWG pada Julai lepas berjaya meyakinkan syarikat penerbangan Singapore Airlines untuk menawarkan teh premiumnya kepada penumpang-penumpang kelas Sut, Pertama dan Perniagaan.


TWG mempunyai butik teh di Raffles Place dan ION Orchard di Singapura.


Barnes berkata, syarikat tersebut juga mewujudkan satu rangkaian edaran dan peruncitan antarabangsa di gedung-gedung beli-belah terkemuka merentasi Asia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Beliau berkata TWG Tea muncul sebagai teh kedua paling diminati selepas teh Harrods di Harrods London.

Bulan ini (Jun) syarikat membuka kaunter khusus TWG Tea di Harrods di mana pengunjung bukan sahaja dapat menikmati adunan teh eksotik yang ditawarkan oleh TWG Tea tetapi juga barisan luas daun teh asli dan adunan dari seluruh dunia.

Syarikat itu memperoleh bekalan teh dari pelbagai ladang teh di Asia seperti Nepal, India, Sri Lanka, Myanmar, Bangladesh, Jepun, Thailand, Malaysia, Indonesia, Vietnam, China, Iran, Kenya dan Rwanda.

Barnes berkata TWG Tea memilih Singapura bagi menempatkan ibu pejabatnya kerana ia mudah untuk berurusan dengan ladang-ladang teh terbaik di Asia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: