Tuesday, June 29, 2010

Laman web Atilia popular


ALBUM Indah turut menampilkan sebuah lagu duet Atilia dan Noh berjudul, Old Love.


MENTERJEMAH album Indah di mata, hati dan telinganya, bukan perkara sukar buat Raja Putri Atilia Raja Haron atau lebih dikenali sebagai Atilia. Naskhah kedua itu selepas menghadirkan Sangkar pada tahun 2008, punya signifikan tersendiri sehinggakan ia tidak mampu terluah dengan kata.

Itu kepuasan total wanita berusia 36 tahun yang mengepalai pembikinan album barunya. Menggelarkan Indah, serba-serbi dianggap indah sementelah berkisar keakbarannya dengan teman-temannya - Sazzy Falak, Yasmin Hani, Serena C, Aishah Sinclair, Daphne Iking dan Dynas sekali gus menikmati hidup bahagia bersama keluarga, kekasih serta peminat.

Biarpun lagu-lagu Sangkar sulit meraih posisi istimewa di stesen-stesen radio, dia tidak pernah berputus harap. Wanita kecil molek dilahirkan pada 18 September 1974 itu bagaimanapun menganggap situasi berkenaan sebagai cabaran melahirkan Indah dengan kudrat sendiri.

“Perasaan macam melahirkan anak walaupun saya belum berdepan pengalaman ini. Dengan kemunculan Indah ditambah saya berperanan sebagai penerbit eksekutif yang menumpahkan segenap emosi sepanjang dua tahun lalu, ia menjadi kepuasan tidak terhingga.

“Kalau album terdahulu saya tulis enam lagu, kini saya buat semua benda untuk pembikinan Indah. Dari awal hingga akhir, proses perjalanan, paling menarik, ia disaksi sendiri oleh saya termasuk memilih 10 buah lagu, menulis dua lirik, konsep kulit album dan banyak lagi dengan Tok Khon dan Adam Sofian sebagai penerbit bersama.

“Tetapi nasib baik penghasilan album ini tidak ambil tempoh panjang berbanding Sangkar selama enam tahun kerana ia bersifat eksperimental. Sepanjang dua tahun, saya akui perjalanan Indah bersepah sikit sebab guna banyak studio merekod lagu seperti di Jakarta dan beberapa lokasi di Kuala Lumpur,” jelas Atilia ketika ditemui pada pelancaran albumnya di Celebrities Hall Of Music, Mon’t Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Puteri kesayangan penyanyi malar segar, Salamiah Hassan, 58, itu memberitahu, Indah yang mengandungi enam lagu Melayu manakala empat berbahasa Inggeris berkonsep tidak jauh daripada Sangkar iaitu Neo Jazz.

“Buat pertama kali saya bergabung dengan vokalis grup Hujan, Noh menerusi lagu Inggeris, Old Love. Walaupun baru jalani kolaborasi, ternyata lagu ciptaan Mike Bloemendal ini mampu mewujud keserasian kami. Malah, impian saya berduet bersama pemuzik Indonesia, Maliq And D’Essentials melalui lagu Harus Bagaimana serta Sore, menjadi kenyataan.


MENGAKUI sedang berkawan dengan seorang lelaki istimewa, Atilia bagaimanapun menegaskan perkara itu terlalu awal untuk didedahkan.


“Selain menyanyi dengan tiga nama besar diminati, Indah dianggap hadiah kepada peminat kerana lama menanti album penuh saya. Ia kedengaran lebih mesra dan komersial kerana saya bekerja dengan ramai komposer seperti Paul Morisson, Ifa Fachir, Tok Khon dan Mohariz Yaakup manakala saya menulis lirik Selainnya dan Indah.

“Saya telah melancarkan single pertama Silly Little Thing pada 1 April lalu di Jakarta, Indonesia. Mana tahu, selepas ini dapat buat persembahan dengan Maliq And D’Essentials atau Sore sambil menyelinap masuk ke Indonesia meluaskan sayap,” terang Atilia yang berpandangan karyanya mudah diterima di Indonesia kerana pencinta muzik di sana didedah secara meluas jalur muzik jazz.

Malah, untuk naskhah Indah, segala urusan menjadi lebih teratur apabila Atilia menandatangani kontrak bersama Alibi Music Sdn. Bhd. baru-baru ini. Syarikat rakaman tersebut akan mengendali segala hal berkaitan album termasuk publisiti, muat turun Internet dan pengedaran.

“Saya akui soal bajet menjadi sedikit masalah untuk memunculkan album kedua. Namun, demi kecintaan terhadap bidang nyanyian, saya sanggup mengeluarkan wang simpanan sendiri sekitar RM40,000. Cuma, nasib saya baik apabila Alibi bersedia hulur bantuan untuk klip video, kulit album dan promosi,” ucap Atilia turut terbabit pada pementasan teater muzikal, Little Red Riding Hood arahan Nell Ng tidak lama lagi.

Indah yang dibalut dengan deretan karya memikat hati terdiri daripada Indah, Harus Bagaimana, Terindah Pilihanku, Gelombang, SelainNya, Old Love, Leka, Change, Angel dan Silly Little Thing bakal dilancar selewat-lewatnya bulan depan di bawah rumah penerbitan milik Atilia, Mujik Productions Sdn. Bhd.

Mengenai aktiviti seni, pemilik laman web www.atilia.us yang kini mencecah 3.6 juta pengunjung memaklumkan akan meneruskan projek Malam Nada Biru, selain menjayakan persembahan di beberapa Festival Muzik Jazz bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Saya ingin fokus terhadap karier buat masa sekarang. Tidak dinafikan, saya sedang berkawan dengan seseorang istimewa. Tetapi, masih terlalu awal mahu memperkata perkara ini.

“Ada perancangan hendak berkahwin lagi ditambah saya suka anak.Jangan risau, jika sampai masanya, saya pasti berkongsi dengan peminat,” akui Atilia pernah menemui keruntuhan rumah tangga selepas hidup selama 10 dengan bekas suaminya, Ariff Johan Abdul Aziz, 35.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: