Wednesday, June 30, 2010

Hitam putih Johannesburg


THE MARKET THEATRE menjadi lokasi rangkaian restoran dan bar.


JOHANNESBURG yang menjadi gelanggang perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di bumi Afrika Selatan terkenal dengan gelaran Tale of Two Cities.

Bandar raya yang dianggap lubuk emas itu masih menjadi tarikan kepada mereka yang mencari keuntungan, namun bagi penduduk tempatan ia masih sinonim dengan jenayah dan kemiskinan.

Lokasi kepada bursa saham terbesar di benua Afrika itu dan kemegahan kedai-kedai, ia bersempadan dengan bandar Soweto yang menjadi kediaman kepada pemenang Nobel, Nelson Mandela dan Desmond Tutu semasa pemerintah aparteid yang memisahkan kaum kulit putih dan kulit hitam.

Dikenali dengan nama Jozi atau Joburg, bandar terbesar di Afrika Selatan itu menjadi tajuk utama selaku tuan rumah kepada 16 daripada 64 perlawanan bola sepak Piala Dunia termasuk perlawanan pembukaan dan akhir pada 11 Julai nanti.

Lapan daripada perlawanan, termasuk dua perlawanan utama, berlangsung di Soccer City berdekatan Soweto. Perlawanan selebihnya akan berlangsung di Ellis Park, tidak jauh dari pusat bandar terkenal Hilbrow.

Kota dua cerita

Namun, Hilbrow kekal menjadi kediaman kepada ribuan pendatang warga Nigeria, Somalia dan Zimbabwe yang bergelut meneruskan kehidupan, sebahagian daripada pusat bandar ini bergembira dengan perubahan yang berlaku.

Pelawat-pelawat yang datang ke 44 Stanley Avenue, sebuah kawasan yang padat dengan bengkel dan garaj kini telah bertukar wajah menjadi deretan kedai dan bar, membuatkan mereka seolah-olah berada di Eropah.


PIALA DUNIA melonjakkan sektor perniagaan di Johannesburg yang meraih keuntungan melalui kedatangan pelancong.


"Anda akan berfikir berada di luar sebuah kafe di Paris," kata seorang pelanggan, Thembi sambil menghirup segelas wain.

Duduk bersebelahan mejanya, seorang pelanggan dikenali sebagai Lionel mengimbas semula bagaimana kawasan itu satu ketika dahulu terkenal dengan aktiviti pengedaran dadah.

"Di kawasan ini terdapat bangunan kilang terbiar dan dipenuhi mereka yang tidak jujur. Ia amat mengerikan sebelum ini," katanya.

Pernah satu ketika, kadar jenayah menjadi semakin teruk sehingga bursa saham terpaksa dipindahkan ke pinggir bandar.

Namun, kini beberapa kawasan di Central Business District (CBD) kembali pulih seperti sedia kala, seperti Market Theathre, sebuah rangkaian restoran dan bar yang mengandungi teater dan kelab malam.

Di beberapa sudut sekitarnya terdapat himpunan seni bina menarik seperti bangunan pencakar langit Barbican atau Guildhall Pub, yang merupakan bar popular di bandar ini.

Timbalan Pengarah Bandar dan Warisan, Eric Itzkin berkata kawasan pusat bandar itu pernah menjadi syurga dalam kalangan golongan kaya kulit putih membeli-belah sebelum kadar jenayah semakin menjadi-jadi. Bagaimanapun, ia bukan tempat di mana kehadiran semua orang dialu-alukan.

"CBD bertambah maju sekitar tahun 70-an. Terdapat banyak pusat beli-belah mewah tetapi terdapat juga sisi hitam. Ia adalah sebuah bandar aparteid, ramai orang diasingkan daripada memasukinya," kata Itzkin kepada AFP.

Dengan perlawanan Piala Dunia sudah memasuki peringkat suku akhir, kehadiran polis di pusat bandar Johannesburg mula menampakkan peningkatan tetapi keengganan penduduk sekitar keluar selepas waktu malam sangat difahami.


SEORANG lelaki melalui bangunan-bangunan perniagaan di CBD di Johannesburg.


Polis di Gauteng, wilayah yang merangkumi Johannesburg dan Pretoria, berkata terdapat hampir 4,000 kes pembunuhan dan 90,000 kes kecurian dilaporkan antara April 2008 dan Mac 2009.

"Selepas pukul 8 malam, terlalu banyak jenayah berlaku di sini. Disebabkan pertandingan Piala Dunia, polis telah menangkap golongan ini dan keadaan sekarang lebih selamat," kata Janet Nel, 32, yang menyewa sebuah flat kecil di Astor Mansions. Ia sebuah blok apartmen seni pada tahun 1930-an ketika bandar itu digelar sebagai Little Manhattan.

Pemanduan lima minit dari CBD menampakkan penempatan eksklusif di bandar itu di mana kebanyakan keluarga kaum kulit putih hidup mewah lengkap dengan kolam renang dan halaman rumah yang dijaga rapi.

Dikenali dengan nama, Sandton, ia kini adalah lokasi bagi bangunan Bursa Saham Johannesburg dan juga pusat beli-belah mewah. Ia menawarkan barangan yang 'berkelipan' dan pastinya memeningkan kepala isteri dan teman wanita pemain bola sepak Piala Dunia.

Namun, berada di bawah bayangannya ialah bandar Alexandra, di mana ribuan kulit hitam miskin masih tinggal di pondok-pondok usang, dengan bekalan paip dan tandas yang paling asas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: