Tuesday, June 29, 2010

Chermaine Poo Dalami Islam

MENGHAYATI watak seorang mualaf dalam drama berjudul Tudung Ekspres, pelakon berbangsa Cina, Chermaine Poo mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.

Biarpun buat pertama kalinya diberi kepercayaan untuk melakonkan adegan menunaikan ibadat, Chermaine memberitahu dia perlu memahami setiap perkara yang dilakonkan terlebih dahulu agar tidak menyentuh sensitiviti umat Islam.

"Sebelum saya mendapat tawaran ini saya ada berkunjung ke Abu Dhabi. Di sana saya ada memasuki masjid bersejarah dengan mengenakan tudung.

"Selepas balik dari situ juga kami sekeluarga banyak bercakap tentang Islam dan selepas itu saya dapat tawaran berlakon watak mualaf.

"Saya tahu perkara ini sensitif jadi saya pelajari panduan mengenai Islam melalui buku-buku agama selain bantuan rakan-rakan yang beragama Islam.

"Keluarga juga tidak melarang malah menggalakkan saya mendalaminya agar lebih mudah melakonkan watak sedemikian. Saya percaya setiap agama itu indah dan menuntut melakukan kebaikan," katanya.

Menurut bekas juara Miss Malaysia 2005 ini, dia lebih selesa berpakaian yang tidak terlalu seksi.

Chermaine memegang watak sebagai Mei iaitu seorang saudara baru dan berdepan dengan masalah penerimaan keluarga terhadap agama yang menjadi pilihannya.

Bercerita tentang keserasian dengan pelakon lain iaitu Lisa Surihani, Julia Ziegler dan Linda Hashim, Chermaine memberitahu ia merupakan pengalaman pertamanya dan tidak pernah bertemu mereka sebelum ini.

Chermaine ayu berjubah hijau diapit oleh pelakon-pelakon Tudung Ekspres.

"Saya sering melihat mereka di kaca televisyen tetapi tidak pernah berjumpa. Ketika diberitahu saya akan bergandingan dengan mereka saya rasa teruja walaupun sedikit gementar pada awalnya," jelasnya yang menjalani penggambaran selama lebih sebulan.

Drama bersiri 13 episod ini berkisarkan kehidupan empat orang wanita bertudung yang memiliki watak dan kisah tersendiri.

Ia bakal ditayangkan pada setiap hari Khamis, pukul 9.30 malam bermula 8 Julai ini menerusi Astro Prima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: