Monday, May 31, 2010

Tabiat buruk penagih di China


LATIHAN tai chi yang dilakukan oleh pelatih-pelatih di Pusat Pemulihan Wajib Majlis Perbandaran Kunming, Yunnan.


KALI pertama Wan Yannan mencuba dadah adalah sekitar lapan tahun lalu. Pada ketika itu, dia adalah graduan kejururawatan di sebuah hospital.

Kini, wanita berusia 28 tahun itu kelihatan cukup letih.

Dia ditinggalkan oleh teman lelakinya dan juga hilang pekerjaan. Wan juga hampir dipinggirkan oleh keluarganya akibat terjebak dalam penagihan dadah dan kerap mengulangi tabiat lamanya biarpun telah dirawat di pusat pemulihan China sejak sekian lama.

"Saya hanya mahu dadah. Perkara pertama yang saya fikir sebaik bangun pagi ialah bagaimana untuk mencari duit untuk dadah. Kehidupan saya sangat gelap ketika itu," kata Wan.

Wan yang sedang menjalani sesi pemuliharaan kali kelima di kota Kunming merupakan antara ribuan penagih dadah China yang cuba menghentikan tabiat buruk itu. Penyalahgunaan dadah kian meningkatkan di sebalik dakwaan penggunaan rawatan berbentuk penyeksaan di pusat-pusat pemulihan yang dikendalikan oleh kerajaan negeri.

Pusat Pemulihan Wajib Majlis Perbandaran Kunming di wilayah Yunnan kini menjadi kediaman tetap Wan. Pusat itu terletak di kedudukan utama lokasi penagihan dadah di China dan bersempadan dengan tapak penghasilan heroin pada titik pertemuan Myanmar, Laos dan Thailand.

Memiliki sejarah berusia 21 tahun, pusat pemulihan yang didakwa membekalkan kemudahan termoden, terbesar dan tertua di China itu baru-baru ini telah membenarkan wakil agensi berita AFP membuat kunjungan.

Kaedah rawatan yang digunakan termasuklah kombinasi ubat-ubatan herba Cina untuk membantu golongan penagih membuang toksik dalam tubuh dan diikuti dengan senaman berbentuk seni mempertahankan diri.

Senaman-senaman itu dipercayai dapat menyucikan mereka semula manakala latihan kemahiran yang disediakan berupaya membantu golongan itu untuk mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan.

Kembali ke tabiat asal

Tapak seluas 20 hektar itu merangkumi sebuah kawasan kediaman yang diberi nama Rumah Harmoni untuk sejumlah 2,500 orang penagih. Terdapat juga sebuah kebun sayur yang membolehkan golongan penagih menanam sayur mereka sendiri.

Lawatan ke kawasan penempatan kebanyakan golongan penagih bagaimanapun tidak dibenarkan. Wakil-wakil pemberita daripada AFP juga gagal menyaksikan pelaksanaan sebarang rawatan dalam pusat yang dikendalikan oleh polis itu.

Namun, satu kenyataan jelas ialah kemudahan di pusat itu gagal mencegah golongan penagih daripada kembali ke tabiat asal.

Seorang pegawai polis yang bertindak sebagai jurucakap pusat itu, Xia Jianxun berkata, kadar ketagihan semula yang direkodkan hanya sebanyak 75 peratus. Di pusat itu, golongan penagih digelar sebagai pelatih. Mengikut rekod, pusat tersebut mengambil masa selama dua dekad untuk mengurangkan kadar pembalikan itu daripada 86 peratus kepada pencapaian peratusan hari ini.

"Itu satu usaha yang besar," akui Xia sambil memberitahu hakikatnya kadar pembalikan kepada tabiat asal di kalangan penagih adalah tinggi dalam konteks dunia.

Pada tahun kebangkitan kerajaan Komunis di China pada tahun 1949, penggunaan dadah telah dihapuskan. Namun, masalah penagihan dadah kembali menghantui rakyat China semenjak negara itu mengamalkan sistem terbuka kepada dunia tiga dekad yang lalu.

Berdasarkan perangkaan rasmi, bilangan kes yang melibatkan jenayah penyalahgunaan dadah turut meningkat kepada 77,000 kes tahun lalu dan mencatatkan kenaikan sebanyak 26 peratus sejak tahun 2008. China sahaja memiliki seramai 1.3 juta orang penagih dadah berdaftar. Malah, badan-badan bebas menganggarkan jumlah penagih sebenar adalah jauh lebih tinggi dengan sekurang-kurangnya 170,000 orang ditempatkan di pusat-pusat pemulihan.


MENARI salah satu bentuk proses pemulihan.


Mencabul hak asasi

Laporan media turut menyatakan kadar pengulangan tabiat buruk oleh golongan penagih dadah di China adalah setinggi 90 peratus. Dalam satu laporan Januari lalu, Human Rights Watch telah menyalahkan sistem pemulihan yang didakwa menggunakan kaedah rawatan berbentuk penyeksaan.

Majoriti bekas penagih yang ditemu bual oleh kumpulan pemantau berpangkalan di New York itu memberitahu, mereka menderita kerana menjadi buruh paksa, dikurung dan dikenakan pelbagai bentuk penderaan yang lain.

"Saya rasa masalah utamanya ialah isu perubatan. Maknanya, masalah perubatan ini telah diambil alih oleh polis. Mereka merupakan institusi yang diminta untuk membuat keputusan berkaitan dengan perubatan," kata Phelim Kine. Kine adalah seorang penyelidik dari Asia bagi Human Rights Watch.

Situasi tersebut berulang tanpa sebarang penyelesaian.

Menurut Xia, dia tidak tahu tentang sebarang dakwaan itu. Malah, tiada seorang pun pelatih yang dimasukkan ke dalam pusat itu secara sukarela mengadu tentang penyeksaan seperti yang didakwa. Pihak pegawai pusat juga telah memantau setiap sesi temu bual yang berlangsung.

Namun, kesan dan kesakitan akibat pengulangan tabiat ketagihan amat ketara dan biasa.

Seorang penagih, Yang Likun telah bertindak kembali ke pusat itu, dua tahun selepas empat kali mengulangi tabiat buruk tersebut. Yang, 34, kelihatan sedekad lebih tua daripada usia sebenarnya selepas terjebak dalam penagihan dadah selama 12 tahun.

Dia yang merupakan seorang penari terlatih menyimpan impian untuk berkahwin dan mengajar tarian kepada kanak-kanak suatu hari nanti. Tetapi pada masa yang sama, dia juga takut untuk melangkah keluar dari pusat pemulihan tersebut kerana bimbang terjebak ke dalam kancah penagihan semula.

Yang berpendapat, kebanyakan anak-anak muda China mencuba dadah buat kali pertama kerana teruja. Golongan itu juga merasakan penagihan dadah adalah satu bentuk kemewahan zaman moden dan pihak kerajaan China turut gagal memberi amaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah.

"Saya tidak tahu dadah boleh mengakibatkan ketagihan. Malangnya, pada saat saya mengetahui kebenarannya, ia sudah terlambat," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: