Friday, April 30, 2010

Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras hasilkan kek terbesar


Sebahagian daripada pelajar Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras menunjukkan tiket jualan untuk kek amal (kanan) yang mereka cipta seberat 120kg selepas majlis pelancarannya di Cheras, semalam.


KUALA LUMPUR 29 April - Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras dan Hotel Pearl International berjaya menyediakan sebiji kek berukuran 2.7 meter lebar dan 1.3 meter tinggi, dipercayai kek terbesar pernah dihasilkan setakat ini, sempena ulang tahun ke-27 sekolah itu.

Kek dengan reka bentuk bangunan sekolah itu direka khas oleh Ketua Chef Hotel Pearl International, Alex Chin bagi memeriahkan sambutan ulang tahun sekolah itu selain mengumpul dana untuk membantu Majlis Kanser Negara (Makna).

Pengasas Sekolah Antarabangsa Cempaka, Datin Freida Pilus berkata, idea untuk menghasilkan kek terbesar itu dicetuskan dua pelajar tahun akhir sekolah tersebut iaitu Gabriel Tan Lye Zhang dan Ben Chai Win Jing.

''Lye Zhang dan Win Jing mengutarakan idea tersebut baru-baru ini setelah mereka mengikuti kursus perantis membuat kek di Hotel Pearl International pada cuti sekolah yang lalu,'' katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian sambutan ulang tahun Sekolah Antarabangsa Cempaka Cheras dan kempen membantu Makna, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Kewangan Hotel Pearl International, Datin Chiann Tan dan Koordinator Makna, Nisha Sanita Mohd. Norha.

Freida yang juga Exco Makna berkata, sepotong kek itu dijual pada harga RM10 kepada warga sekolah termasuk ibu bapa pelajar.

''Diharapkan dengan langkah ini secara tidak langsung dapat menggalakkan para pelajar untuk terus melakukan kerja-kerja amal,'' katanya.

Menurut beliau, pihak sekolah mensasarkan mengutip RM10,000 hari ini hasil jualan kek itu untuk disalurkan kepada Makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: