Thursday, April 29, 2010

RM200 ribu menanti Rentak Juara




MENAMPILKAN slogan Julang Jati Diri, program realiti Rentak Juara 2010 kali ini menawarkan hadiah bernilai RM200,000 kepada kumpulan-kumpulan yang bertanding dalam pertandingan ini.

Sebanyak 30 kumpulan yang terdiri daripada pemuzik profesional dan amatur telah terpilih daripada 357 kumpulan yang menghadiri uji bakat yang telah diadakan di seluruh negara untuk bersaing dalam konsert suku akhir Rentak Juara episod pertama hingga keenam.

Menurut Timbalan Pengarah Produksi Televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM), Rokiah Norma Ramli, pemilihan sebanyak 30 kumpulan ini bukan sahaja memiliki bakat dan kreativiti dalam bidang muzik sahaja malah para peserta mempunyai keupayaan mencipta lagu dan mempunyai keyakinan yang tinggi dalam membentuk kumpulan muziknya yang tersendiri.

Kata Rokiah, sebanyak lima kumpulan akan bertanding dalam setiap episod dan akan mempersembahkan lagu masing-masing yang kemudiannya dinilai oleh para juri.

"Para juri akan memilih dua kumpulan terbaik pada setiap minggu untuk ke peringkat separuh akhir manakala tiga lagi kumpulan yang gagal akan diundi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) untuk pemilihan khas.

"Hanya satu kumpulan yang mendapat undian SMS terbanyak setiap minggu layak meneruskan konsert SMS suku akhir pada episod ketujuh nanti.

"Ini bermakna hanya enam kumpulan akan bertanding pada konsert tersebut dan dua kumpulan sahaja dipilih oleh pihak juri ke peringkat separuh akhir," ujarnya pada sidang akhbar program itu di Wisma Auditorium Perdana Angkasapuri baru-baru ini.

Tambahnya, dalam konsert separuh akhir pertama dan kedua pihak juri akan memilih tiga kumpulan terbaik setiap separuh akhir untuk ke peringkat akhir manakala kumpulan yang gagal akan dipilih sekali lagi menerusi undian SMS.

"Daripada kumpulan yang gagal hanya enam kumpulan sahaja dipilih berdasarkan undian SMS ke episod 10 iaitu Konsert SMS Separuh Akhir.

Enam kumpulan yang bertanding dalam episod khas ini hanya dua kumpulan sahaja dipilih untuk menggenapkan lapan kumpulan untuk ke peringkat akhir," katanya pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengarah Orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail.

Malah buat pertama kali juga Rentak Juara 2010 memperkenalkan Dentum Rentak Juara iaitu rancangan berbentuk diari yang bersiaran bermula 19 April lalu hingga 29 April (hari ini) pukul 4 hingga 4.30 petang di saluran TV2.

Antara kumpulan yang terpilih adalah Zabarjad, Son Of Adam, Project 2000, Alternature, The Crown dan The Fingers.

Lima buah diari lagi akan disiarkan untuk pertandingan akhir Rentak Juara 2010 bermula 13 hingga 17 Julai nanti.

Dalam majlis itu juga empat orang pengacara Rentak Juara 2010 turut diperkenalkan iaitu DJ Pool, Muaz, Nurata dan Odey Petra. Selain itu tiga saluran media rasmi Rentak Juara juga ialah TV2, Saluran 180 Muzik Aktif di Astro dan Muzik FM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: