Friday, April 30, 2010

'Kategori simpanan' dalam FFM23


MOHD. Mahyidin Mustakim (lima dari kiri) bersama tenaga kerja FFM23 dan wakil-wakil penerbit pada sidang akhbar festival filem itu di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.


SAMA seperti penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun lalu, edisi kali ke-23 atau FFM23 tahun ini tidak banyak menampilkan perubahan daripada segi kategori-kategori anugerah yang akan dipertandingkan kelak.

Festival anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu misalnya, akan mempertaruhkan 13 Anugerah Perdana, 12 Anugerah Cipta, empay Anugerah Khas dan lima Anugerah Khas Juri.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim berkata, daripada 34 anugerah yang dipertandingkan itu, satu daripadanya masih berada dalam kategori simpanan yang akan diputuskan oleh jawatankuasa festival itu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana FFM23 menjelaskan, kategori simpanan itu akan menggantikan kategori Filem Komedi Terbaik yang sebelum ini diletakkan di bawah Anugerah Cipta.

"Anugerah Filem Komedi Terbaik kami tiadakan pada tahun ini kerana bagi memberi ruang kepada genre filem lain seperti seram dan aksi yang lebih banyak diterbitkan berbanding sebelumnya.

"Untuk kategori itu kami simpan dulu dan ia akan diputuskan oleh jawatankuasa FFM23 tidak lama lagi sama ada untuk mewujudkan kategori Filem Aksi Terbaik atau Filem Seram Terbaik," katanya pada sidang akhbar FFM23 di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

FFM23 yang akan diadakan mulai 12 hingga 18 Julai ini di Kuala Lumpur merupakan 'pengembalian semula' festival itu selepas ia diadakan di luar ibu negara iaitu di Pulau Pinang pada FFM20 (2007), FFM21 (Putrajaya - 2008) dan FFM22 (Kota Kinabalu, Sabah - 2009).

Selepas tiga tahun FFM diadakan di luar Kuala Lumpur, festival anjuran bersama Gabungan Persatuan Karyawan Perfileman Malaysia dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia itu akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 18 Julai ini.

Dengan tema Filem Malaysia Ke Persada Dunia, FFM23 akan mengadakan pelbagai aktiviti seperti bengkel-bengkel perfileman dan tayangan filem-filem tempatan secara percuma kepada orang ramai.

Namun kata Mohd. Mahyidin, tayangan percuma filem-filem itu pada kali ini tidak diadakan di pawagam-pawagam kawasan bandar, sebaliknya ia akan diadakan di pinggir bandar bagi menarik lebih ramai penonton menyaksikannya.

"Tayangan percuma filem-filem yang akan bertanding pada FFM23 ini akan diadakan di sekitar Lembah Klang tetapi bukannya di 'pawagam-pawagam tradisional' di ibu negara iaitu di TGV KLCC dan GSC Mid Valley.

"Kami lebih utamakan penonton luar atau pinggir bandar seperti Cheras, Kepong dan Selayang kerana berdasarkan pengalaman kami mereka lebih memberikan sambutan menggalakkan.

"Biasanya, penonton yang berkunjung ke pawagam-pawagam tradisional itu hanya mahu menonton filem-filem baru sahaja," ujarnya.

Setakat ini sebanyak 23 filem tempatan yang sudah ditayangkan pada tahun lalu dan tahun ini atau yang sudah mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem Malaysia layak untuk bertanding pada FFM23 di mana tarikh tutup penyertaan pada 31 Mei ini.

Filem-filem yang layak bertanding pada FFM23 berjudul Jin Notti, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Pisau Cukur, Senario The Movie Episod 2: Beach Boys, My Spy, Santau, Pulau Asmara, Muallaf, Duhai Si Pari-Pari, Adnan Sempit, 2 Hati 1 Jiwa dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie.

Selain itu, filem Niyang Rapik, V3: Samseng Jalanan, Evolusi KL Drift 2, Semerah Cinta Stilleto, Hooperz, Belukar, Andartu Terlampau: 21 Hari Mencari Cinta, Lagenda Budak Setan, Kecoh Betul, Kapoww dan Zoo juga layak bertanding pada FFM23.

Tambah Mohd. Mahyidin, selain kategori anugerah yang sama seperti tahun sebelumnya, FFM23 juga akan menyediakan hadiah wang tunai dan trofi untuk para pemenang.

"Hadiah wang tunai untuk para pemenang setiap kategori anugerah sama seperti tahun lepas. Kita akan umumkan tentang hadiah pada sidang akhbar FFM23 yang kedua nanti. Kita juga akan menggunakan khidmat RTM dan Astro sebagai penyiar rasmi festival ini," katanya.

Anugerah Perdana ialah Filem Digital Terbaik, Pendek Terbaik, Animasi Terbaik, Dokumentari Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Penyunting Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Filem Terbaik dan Filem Terbaik.

Anugerah Cipta yang disediakan ialah Poster Terbaik, Pereka Kostum/Busana Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Pelakon Harapan Lelaki, Lagu Tema Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Harapan dan 'anugerah simpanan'.

Lima Anugerah Khas ialah Penggiat Belakang Tabir, Pelakon Veteran Wanita, Pelakon Veteran Lelaki dan Filem Box-Office, manakala lima lagi Anugerah Khas Juri akan diputuskan kemudian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: