Thursday, April 29, 2010

HOG Kikis Imej Pembuli Jalanan

Ahli-ahli HOG dan Persatuan Pandu Puteri bergambar kenangan sewaktu kempen On The Run Charity Ride di Kepong baru-baru ini.

SEJAK lebih separuh abad lalu, imej motosikal besar dan berkuasa tinggi Harley Davidson (HD) tercalar teruk gara-gara rusuhan Hollister di mana ribuan penunggang kononnya didakwa merusuh dan menakluki pekan Hollister, California ketika rali motosikal terbesar Gypsy Tour pada tahun 1947.

Walaupun media pada ketika itu dikatakan memperbesar-besarkan cerita kerana Persatuan Penunggang Motosikal Amerika (AMA) mendakwa hanya satu peratus daripada 4,000 penunggang terbabit dalam insiden tersebut, namun sehingga kini, penunggang HD tetap dilabel dengan stigma negatif.

Ini kerana selepas rusuhan tersebut, Hollywood memburukkan lagi keadaan dengan menayangkan filem-filem seperti The Wild One (menampilkan Marlon Brando) yang menggambarkan penunggang HD sebagai gangster, pemabuk dan kaki buli jalanan.

Presiden Harley Owners Group (HOG) (Malaysia), Choo Kai Mun berkata, pihaknya cuba mengubah imej itu di mata umum memandangkan zaman sudah berubah dan penunggang HD juga dilihat semakin terbuka mendekati orang ramai dan terbabit kerja-kerja amal demi manfaat masyarakat.

Jelas beliau, pihaknya memberi penekanan kepada program dan aktiviti kebajikan terutama anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan beruniform dengan sokongan entiti korporat seperti ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd (ExxonMobil).

"Ini merupakan kali pertama kami mengunjungi stesen minyak dan membantu Persatuan Pandu Puteri menambah kutipan dana mereka.

"Aktiviti seperti ini adalah contoh fokus kami iaitu menyebarkan kesedaran umum tentang pentingnya penglibatan semua pihak dalam mempertingkatkan program kebajikan melibatkan organisasi tempatan," katanya.

Beliau turut berharap persepsi negatif berkaitan penunggang motosikal berkuasa tinggi dapat dihapuskan sama sekali, lebih-lebih lagi kebanyakan ahli kelab seperti HOG terdiri daripada golongan profesional dan eksekutif muda.

Choo Kai Mun (berbaju merah) dan ahli HOG menyerahkan sejumlah dana yang berjaya dikumpul sempena On The Run Charity Ride kepada Datin Seri Zalillah Mohd Taib sambil diperhatikan wakil ExxonMobil, Othman Jaafar (belakang).

Sebanyak 33 buah motosikal berkuasa tinggi menyertai On The Run Charity Ride anjuran bersama Harley Davidson Kuala Lumpur, HOG dan Ojay Holdings Sdn. Bhd.

Sempena Hari Penghargaan Pelanggan (CAD) ExxonMobil itu juga, para penunggang motosikal berkuasa tinggi tersebut mengunjungi empat stesen Esso On the Run di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Bandar Sri Damansara, Rahman Putra (Sungai Buloh) dan Bandar Manjalara, Kepong.

Di setiap stesen, ahli HOG membantu wakil Persatuan Pandu Puteri Malaysia mengumpulkan dana dengan memberi peluang kepada para penderma merakamkan gambar kenangan bersama ahli HOG atau motosikal hebat mereka pada masa sama menyumbang RM5 kepada persatuan itu.

Kehadiran ahli-ahli HOG menceriakan lagi majlis apabila mereka turut serta dalam cabutan bertuah, pertandingan makan buah tembikai, berkaraoke, bergurau dengan badut di samping bermesra dengan orang ramai yang mengagumi motosikal Harley Davidson mereka.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Datin Seri Zalillah Mohd. Taib terharu apabila dihubungi kedua-dua pihak berkenaan dengan niat untuk membantu memperhebatkan promosi kutipan dana kebajikan dan kesedaran mengenai persatuan berkenaan.

"Kami ketika itu sedang bercadang mengadakan sambutan ulang tahun Persatuan Pandu Puteri tahun ini dengan aktiviti secara sederhana seperti jualan pakaian terpakai, air mineral dan barangan cenderahati untuk disalurkan ke tabung kebajikan kami.

"Sungguh kami tidak sangka dan amat terharu apabila HOG menyampaikan hasrat menyertai program ini dan memeriahkan lagi promosi serta sambutan kempen mengenali Pandu Puteri," katanya.

Zalillah berkata, pihaknya bercadang mengadakan Cabaran Tunas Pandu Puteri Antarabangsa sempena sambutan ke-93 tahun Pandu Puteri Malaysia November ini.

Peserta dari 145 buah negara telah dijemput bagi menyertai cabaran peringkat antarabangsa tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: