Friday, April 30, 2010

Cuma dua penghalang

KETUA jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek mengecilkan lagi bilangan pencabar utama yang dijangka mampu menggugat peluang negara untuk menjuarai Piala Thomas kali ini kepada dua - China dan Indonesia.

PUPUK SETIAKAWAN... Ahmad Shabery bersama timbalannya Datuk Razali  Ibrahim meraikan pemain Piala Thomas dan Piala Uber negara pada jamuan  tengah hari, semalam.
PUPUK SETIAKAWAN... Ahmad Shabery bersama timbalannya Datuk Razali Ibrahim meraikan pemain Piala Thomas dan Piala Uber negara pada jamuan tengah hari, semalam.
Beliau menyifatkan dua pasukan terbabit mempunyai kekuatan seimbang dengan skuad negara dan mana-mana pasukan yang mempunyai ketahanan mental, mereka akan bergelar juara edisi ke-26 ini.


“Kalau kita lihat senarai pemain setiap pasukan, hanya China dan Indonesia yang kuat, tapi bagi saya peluang mereka dan kita seimbang, masing-masing dengan peluang 50 peratus,” kata Rashid, ditemui selepas Majlis Makan Tengah Hari skuad Piala Thomas/Uber 2010 bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di KLGCC, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, semalam.


Telahan Rashid itu turut bersandarkan rekod pertemuan dan prestasi semasa pemain negara, di samping faktor pasukan lain seperti Denmark dan Korea Selatan yang terpaksa memanggil semula pemain yang sudah bersara iaitu Kenneth Jonassen dan Lee Hyun Il.


“Jika kita membuat analisa terperinci, peluang kita lebih baik untuk bergelar juara kerana beraksi di tempat sendiri selain setiap pemain kita pernah menewaskan pemain lawan, begitu juga sebaliknya,” kata Rashid lagi.


Pada saingan 2008 di Jakarta, Indonesia, Malaysia tewas 2-3 kepada China di separuh akhir yang menyaksikan Datuk Lee Chong Wei menewaskan Lin Dan manakala Fairuzizuan Tazari- Mohd Zakry Latif menewaskan Guo Zhendong-Xie Zhongbo.


“Sebenarnya peluang kita kali ini lebih baik berbanding 2008. Apa yang penting sekarang adalah peranan pemain, mereka perlu beraksi sepenuh hati memberikan persembahan sepenuh keringat setiap kali turun beraksi,” kata Rashid mahu pemain memberi komitmen sepanjang kejohanan.


Dalam pada itu, Ahmad Shabery gembira semangat sepasukan yang disifatkan semakin jitu di kalangan pemain.


“Saya adakan majlis makan tengah hari ini untuk mengukuhkan lagi jalinan semangat sepasukan di kalangan pemain dan saya amat gembira melihat kemesraan antara mereka. Malah saya lihat pemain lebih bersemangat selepas menjalani Kem Bina Semangat dan perlawanan simulasi,” katanya yang menganggap pemain sudah bersedia merangkul Piala Thomas kali ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: