Friday, April 30, 2010

Ari Wibowo Pentingkan Kualiti

Kerjaya yang dibina sejak berumur 18 tahun membuatkannya tidak mempunyai masa membina kehidupan sendiri. Berkahwin setelah teman rapat yang lain mula sibuk dengan kehidupan berkeluarga dan mula tersedar hidupnya perlu dilengkapkan dengan kehadiran insan bernama wanita sebagai isteri.

"Waktu kahwin saya sudah 36 tahun. Boleh katakan juga sebagai bujang terlajak. Dulu hidup saya dipenuhi teman-teman untuk berhibur dan sehinggalah pada satu tahap, mereka mula sibuk untuk menumpukan perhatian kepada family.

"Pada waktu itu baru tersedar saya sebenarnya bersendirian tika teman yang lain bahagia bersama isteri dan anak. Lantas membuka hati saya untuk berkahwin," ujar Ari.

Masih dengan rutin harian yang semakin sibuk, namun bapa kepada dua anak lelaki, Marco, 9 bulan dan Kenzo, 2 tahun ini mengutamakan keluarganya daripada segala hal. Walaupun masa bersama keluarga terhad, namun Ari berusaha sebaik mungkin meluangkan detik berkualiti untuk kedua-dua puteranya.

"Setiap hujung minggu saya akan berada di rumah dan kami akan melakukan pelbagai aktiviti ketika itu. Walaupun singkat, namun amat bermakna. Tak guna jika saya banyak masa di rumah tetapi hal anak-anak tidak diambil peduli. Biarlah singkat namun yang penting kualiti.

Berganding Bersama Teman Baik

Bakal muncul dalam filem Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami!, Ari mencuri masa semata-mata untuk memenuhi permintaan teman baiknya, Haliza Misbun. Memegang watak sebagai Dr. Ryan Diprojo, salah seorang lelaki yang menjadi pujaan Nikki (Haliza Misbun).

Tidak sukar baginya melakonkan watak tersebut kerana bagi Ari, keseluruhan cerita tersebut boleh dikaitkan dengan dirinya sendiri yang juga lambat berkahwin kerana terlalu asyik dengan kerjaya dan takutkan komitmen.

"Untuk filem ini, saya terpaksa habiskan semua bahagian dalam satu hari dan terus pulang ke Indonesia kerana terlalu banyak komitmen yang harus dilaksanakan. Di sana setiap hari juga ada penggambaran dan saya harus bijak gunakan masa yang ada.

"Ini antara filem komedi pertama saya namun tak perlu banyak bicara kerana bahasa Melayu saya tidak berapa bagus," katanya yang pernah digosipkan bercinta dengan Haliza Misbun suatu ketika dulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: