Wednesday, March 31, 2010

Malaysia Raih Satu Emas Kejohanan Sukan Layar Di China

Pelayar Malaysia bergambar pada hari keenam Kejohanan Pelayaran Asia ke-14 di Shanwei, Guangdong, China, Isnin (29 Mac 2010). Malaysia meraih satu pingat emas menerusi gandingan pelayar pelapis kebangsaan, Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed. Mereka sekaligus berjaya mengungguli kelas International 420 (wanita).

LANGKAWI: Gandingan pelayar pelapis kebangsaan, Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed memenangi pingat emas apabila mengungguli kelas International 420 (wanita) pada hari keenam Kejohanan Pelayaran Asia ke-14 di Shanwei, Guangdong, China.

Pengurus besar Persatuan Pelayaran Malaysia Mohd Afendy Abdullah berkata tiupan angin kencang antara 16 hingga 18 knot dengan keadaan ombak yang tidak berubah setinggi dua hingga tiga meter, memberi kelebihan kepada pelayar negara.

Gandingan Ku Anas Ku Zamil dan Mohd Hafizuddin Mazelan pula berjaya merampas kedudukan tangga kedua terbaik keseluruhan kelas International 420 (lelaki) dan peluang mereka untuk memenangi pingat perak adalah cerah, katanya menerusi email kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia turut berpeluang memenangi beberapa pingat lagi melalui pelayarnya yang sedang bertarung seperti pelayar elit, Mohd Romzi Mohamad (kelas Laser Radial), Mohamad Farhan dan Ahmaf Latif Khan (kelas Optimist).

Pada perlumbaan semalam, pelayar pelapis kebangsaan Ahmad Latif Khan memintas rakan sepasukannya untuk menduduki tangga kedua kelas Optimist lelaki manakala Mohamad Farhan ketiga. Pelayar tuan rumah Zhang Xiao mempunyai peluang cerah menggondol emas.

Dalam kelas Optimist wanita, Nurul Izzatul Akmal berada pada tangga kelima dan Nur Liyana Mohd Latif di tangga keenam. Pelayar Thailand Nappakao masih mendahulu kelas itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: