Thursday, February 25, 2010

RM75,000 Untuk Pendengar Setia Suria FM

Bukan senang nak dapat duit dengan hanya mendengar lagu kegemaran di radio. Namun inilah yang dijanjikan Suria FM kerana buat kali keduanya, Lagu Berduit di Suria FM kembali.


Peraduan ini akan menemui pendengar mulai 1 Mac 2010 sehingga 28 Mac 2010. Tidak perlu menjawap soalan atau meneka lirik lagu, pendengar hanya perlu meneka lagu berduit yang dimainkan Halim Othman dan Zizi melalui Breakfast@Suria dan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS).

Menurut Pengarah Program Suria FM, Hawa Abdul Hamid, Lagu Berduit dianjurkan buat kali kedua di atas sambutan menggalakkan daripada pendengar pada musim pertama diadakan.

"Kami menyediakan RM75,000 untuk pendengar setia Suria FM untuk musim ini. Lagu Berduit akan dipilih sendiri oleh Halim Othman dan Zizi dan anda hanya perlu lekatkan telinga di radio untuk mendengar klue tajuk lagu dan penyanyi untuk membolehkan anda memenangi wang tunai RM250 serta merta.

"Sambutan tahun lepas amat menggalakkan hinggakan laman web Suria menjadi antara top five ketika peraduan ini dilancarkan. Dalam 30 minit sahaja kami telah menerima sebanyak 30,000 SMS daripada pendengar ketika Datuk Siti Nurhaliza menyanyikan lagu beliau secara live di Suria FM," ujarnya.

Anda hanya perlu menghantar sms dengan menaip SURIA Lagu dan hantarkan ke 33988. Sekiranya lagu yang diputarkan itu dalam versi nyanyian live, RM5,000 bakal menjadi milik anda.

Namun setiap pendengar yang ingin menyertai peraduan ini haruslah mendaftar sebagai Suria FM VIP terlebih dahulu. Pendaftaran ini hanya perlu dibuat sekali seumur hidup dengan menaip VIP NAMA PENUH NO KP dan hantarkan ke 33988. Dengan pendaftaran ini, anda dapat berinteraksi dengan para penyampai Suria FM serta menyertai mana-mana peraduan yang dianjurkan di Suria FM.

Turut Bersetuju

Kesempatan menemui Hawa dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkongsi idea mengenai isu mewajibkan lagu baru tempatan dimainkan setiap hari di stesen radio.

"Kami tak pernah ada masalah dengan masalah tersebut kerana Suria FM memang menyokong produk artis tempatan. Kami masih menunggu detail daripada kementerian tapi kami akur dengan keputusan tersebut.

"Suria tak pernah memilih artis dan selalu memainkan lagu baru setiap hari. Tapi kadang kala yang menjadi masalah apabila format lagu yang diberikan tidak kena. Walaupun kami ada carta untuk lagu Indonesia, Suria Baik Banget, namun produk tempatan diutamakan," ujar Hawa gembira dengan perkembangan positif di Suria FM sejak kemunculan Halim Othman dan Linda Onn.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: