Sunday, February 28, 2010

Que Dodoikan Lagu ‘Tidurlah Permaisuri’ Di Majlis Perkenalkan Ratu

Ratu ketika didukung oleh Que dan Linda semasa majlis memperkenalkan bayi mereka di Bora Ombak, semalam.

WAJAH Tengku Ratu Haidar yang ditunggu-tunggu buat julung kalinya diperkenalkan oleh pasangan selebriti Que Haidar dan Linda Jasmine, semalam di Bora Ombak, Ampang.

Menariknya, Que telah mendodoikan lagu Tidurlah Permaisuri nyanyian Allahyarham P. Ramlee dalam majlis kecil yang dihadiri oleh 100 jemputan itu sebagai hadiah untuk puteri sulungnya.

Ratu tidak banyak meragam ketika ramai jurugambar merakamkan gambarnya.

Majlis bermula dengan memasukkan Ratu dalam stroller dan Que menolaknya ke buaian di pelamin yang dihias indah dengan pepatung oleh Cradle ‘N’ All.

“Selepas meletakkan Ratu ke dalam buaian, terus dia tidur. Selepas itu, bila saya bangunkan dia dari tidur, muka dia terpisat-pisat kerana baru bangun tidur. Tetapi bila orang ramai mengambil gambarnya banyak-banyak, dia tidak meragam,” kata Linda kepada mStar Online.

Tambah koreografer terkenal menerusi program realiti Akademi Fantasia dan Sehati Berdansa itu lagi, majlis yang mendapat tajaan Cradle ‘N’ All dan Bora Ombak itu bertemakan warna putih, emas dan krim.

Majlis memperkenalkan Ratu eksklusif dengan pepatung dan mahkota yang dihias indah oleh Cradle 'N' All.

“Alhamdulillah, majlis itu berjalan dengan lancar dan hampir semua orang datang memakai pakaian yang mengikut warna tema.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Cradle ‘N’ All dan Bora Ombak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis itu,” beritahunya dalam nada ceria.

Selain nyanyian daripada Que, tetamu turut dihiburkan dengan nyanyian lagu terbaru daripada Dafi dan persembahan tarian yang diketuai oleh koreografer Dayang.

Que mendodoikan lagu 'Tidurlah Permaisuri' semasa majlis itu.

Majlis yang dikendalikan oleh pengacara majlis Sobri Anuar itu turut disertai dengan bacaan doa sebagai tanda kesyukuran.

Majlis itu juga tidak lengkap sekiranya tiada juadah tersedia. Kata Linda, Bora Ombak telah menyediakan makanan Melayu seperti nasi putih, lauk-pauk, pulut kuning dan pencuci mulut menyelerakan. Namun, mereka turut bermurah hati untuk membantu menghiaskan tempat itu.

Ramai rakan artis yang turut hadir memeriahkan majlis.

Setiap tetamu yang hadir juga dihadiahkan dengan sebekas biskut berbentuk mahkota yang disediakan oleh Cradle ‘N’ All. Turut disediakan adalah sebiji kek cawan yang diletakkan mahkota kecil di atasnya.

Antara tetamu yang hadir adalah kaum keluarga, rakan-rakan terdekat, wakil media dan rakan artis.

Mereka adalah Sofia Jane, Riz, Dafi, Lufya, Mawi, Ekin, Aein, Jeslina Hashim dan Eizlan Yusuf.

Ratu dilahirkan pada 26 Oktober 2009. Linda dan Que berkahwin pada 14 Februari lalu di tempat yang sama memperkenalkan Ratu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: