Saturday, February 27, 2010

DNA buktikan petani Austria sepupu Adolf Hitler


HITLER


VIENNA – Satu ujian asid deoxyribonucleic (DNA) terhadap seorang lelaki di Austria membuktikan bahawa dia merupakan antara saudara-mara terakhir pemimpin Jerman, Adolf Hitler yang terkenal kerana mengarahkan pembunuhan ramai kaum Yahudi pada zaman Perang Dunia Kedua, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu berusia 46 tahun dan bekerja sebagai petani dipercayai sepupu Hitler yang juga pemimpin Nazi.

Apabila keputusan DNA itu didedahkan, lelaki tersebut terkejut apabila mengetahui bahawa dia dan Hitler berasal daripada keturunan sama.

Pemerintah Jerman itu dianggap penjenayah paling kejam sepanjang zaman kerana memulakan Perang Dunia Kedua dan menyebabkan kematian berjuta-juta orang termasuk Yahudi.

Hitler dipercayai mati dengan menembak dirinya selepas Jerman kalah dalam Perang Dunia Kedua pada 30 April 1945.

Mayat Hitler dan isterinya kemudian dibakar.

Sebuah majalah Austria, News menyiarkan temu bual dengan lelaki berkenaan yang menggunakan nama samaran, Norbert H semalam.

“Saya menganggap Hitler sebagai penjenayah paling kejam, itu sudah pasti. Saya menjalani ujian itu tanpa berfikir panjang dan menyesal berbuat demikian,” katanya.

Namun, Norbert H yang dijejaki oleh seorang wartawan Belgium, Jean-Paul Mulders boleh menarik nafas lega kerana bukan dia seorang sahaja saudara-mara Hitler yang masih hidup.

Mulders memujuknya supaya menjalani ujian DNA itu.

Menurut Mulders, terdapat kira-kira 39 saudara-mara Hitler tinggal di tempat asalnya di Waldviertel iaitu sebuah kawasan pedalaman Austria.

Kawasan berkenaan merupakan tempat tinggal bapanya, Alois, ibunya, Klara dan nenek Hitler, Anna Schicklgruber.

Setelah Perang Dunia Kedua berakhir, nama Hitler lenyap di dunia kerana mereka yang memiliki nama tersebut menukarnya kepada nama lain.

Bagaimanapun, banyak keluarga di Waldviertel masih mengekalkan nama yang hampir sama seperti Hiedler dan Huettler.

Berpandukan nama-nama tersebut di dalam buku panduan telefon, Mulder berjaya menjejaki lelaki yang bersaudara dengan Hitler itu.

Sebelum ini, wartawan berkenaan mengumpul contoh DNA Hitler dengan mengambil sampel najis cucu saudara lelaki pemimpin itu, Alexander Stuart-Houston, 61, yang menetap di Long Island, New York.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: